- Iklan -
Berita

Peratusan sumbangan ke KDNK bukan ukuran sebenar prestasi ekonomi Selangor, kata Adun

Adun Gombak Setia Hilman Idham menjelaskan perbezaan antara Amirudin Shari dan Mohamed Azmin Ali ketika mentadbir Selangor.

Azzman Abdul Jamal
3 minit bacaan
Kongsi
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan pendahulunya, Mohamed Azmin Ali.
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan pendahulunya, Mohamed Azmin Ali.

Tindakan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari merujuk kepada peratusan sumbangan negeri itu kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara tidak begitu tepat dalam menggambarkan situasi sebenar ekonomi Selangor, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham.

Beliau berkata, cara yang lebih tepat untuk menilai kualiti ekonomi sesebuah negeri ialah dengan merujuk kepada nilai sumbangan negeri itu ke KDNK dari aspek pertumbuhan serta kecekapan pengurusan perbelanjaan pembangunan.

Amirudin dalam ciapan di Twitter sebelum ini menyangkal dakwaan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali apabila beliau menyatakan prestasi Selangor merosot selepas melepaskan jawatan menteri besar pada 2018.

Amirudin kemudian menunjukkan graf sumbangan KDNK Selangor yang menyaksikan peningkatan sehingga 24.8% pada 2021.

Namun begitu, Hilman berkata walaupun peratusan sumbangan boleh menjadi tinggi, nilai sumbangan tidak semestinya akan meningkat kerana peratusan itu bergantung kepada nilai KDNK negara.

Katanya, sejak Azmin mentadbir Selangor, nilai sumbangan negeri itu kepada KDNK sebenarnya meningkat.

"Pada 2015, Selangor menyumbang RM268.83 bilion kepada KDNK negara manakala pada 2016, nilai sumbangan ketika itu meningkat kepada RM281.84 bilion," katanya.

"Pada 2016, nilai sumbangan itu meningkat kepada RM281.84 bilion dan terus naik kepada RM302.19 bilion pada 2017 dan RM323.22 bilion pada 2018."

Hilman berkata, pentadbiran Amirudin mencatatkan penurunan dari RM345.15 bilion pada 2019 kepada RM327.09 bilion pada 2020 dan meningkat semula kepada RM343.5 bilion pada 2021.

Menurut beliau, ini hakikatnya menunjukkan pertumbuhan Selangor meleset dari tahun ke tahun sejak 2018 hingga hari ini meskipun ketika itu negara belum berdepan ancaman pandemik.

"Pertumbuhan ekonomi Selangor dicatatkan pada kadar 7% pada 2018 dan ia merosot kepada 6.8% pada 2018 dan terus menyusut akibat pandemik pada 2020 pada kadar -5.2 dan 5% pada 2021," tambahnya.

Dalam pada itu, Hilman turut menekankan perbezaan utama pentadbiran Amirudin dan Azmin ialah cara kedua-dua pemimpin itu menguruskan perbelanjaan dari aspek pembangunan negeri.

Beliau berkata, pentadbiran Azmin dilihat efektif apabila Selangor mencatatkan rekod perbelanjaan pembangunan lebih 90% daripada apa yang diunjurkan setiap tahun manakala pentadbiran Amirudin berada dalam lingkungan 70% hingga 80%.

Tambah Hilman, ini menunjukkan kecekapan dan keberanian Azmin menggunakan rizab negeri untuk menyediakan infrastruktur utama demi kesejahteraan rakyat.

Sebagai contoh, katanya, Azmin pada 2016 mengumumkan pembangunan Loji Rawatan Air Semenyih 2 dan Loji Rawatan Air Labohan Dagang bernilai RM800 juta bagi menjamin kemampanan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Azmin juga mengumumkan projek penggantian paip air di sepanjang 422.5km bagi mengurangkan kebocoran air tidak terhasil (NRW) bernilai RM324 juta dalam belanjawan Selangor 2017.

"Begitu juga dengan pelaksanaan Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang berimpak tinggi seperti Kad Peduli Sihat untuk rakyat Selangor dalam mendapatkan rawatan kesihatan asas dan program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) bagi meringankan beban keluarga pendapatan rendah (B40)," katanya.

Menurut Hilman, Amirudin tidak berbelanja dengan cekap dan tidak pernah mengumumkan sebarang projek pembangunan infrastruktur utama dalam usaha memperbaiki kualiti hidup rakyat.

Katanya, ini menyebabkan pentadbiran di bawah Amirudin terus menerima pelbagai kritikan berhubung isu kualiti jalan raya, kualiti kebersihan negeri serta isu pembangunan yang semakin merosot.

Beralih kepada kepada perbandingan bajet yang dibentangkan antara kedua-dua pemimpin itu, Hilman akui pendekatan Azmin dilihat cukup progresif dan responsif kepada persekitaran dan dinamik baru dalam landskap ekonomi negara.

Pentadbiran Azmin mula membentangkan bajet pada 2015 berjumlah RM2.42 bilion dan ia meningkat kepada RM2.88 bilion (2016), RM3.45 bilion (2017), dan berakhir dengan RM3.12 bilion pada 2018.

Sementara itu, Amirudin menguruskan Bajet 2019 berjumlah RM2.56 bilion, RM2.33 bilion (2020), RM2.32 bilion (2021) dan RM2.34 bagi 2022.

"Bayangkan tatkala berhadapan dengan usaha pemulihan ekonomi pasca pandemik, jumlah belanjawan yang dibentangkan masih statik sekitar RM2.3 bilion sama seperti era pandemik.

"Sedangkan usaha pemulihan ekonomi menuntut kerajaan negeri berbelanja lebih besar termasuk menggunakan rizab negeri demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran Selangor," katanya. 

Sebagai kesimpulan, Hilman menekankan sikap pentadbiran Amirudin yang enggan meningkatkan perbelanjaan pada era pandemik meskipun rizab negeri mencatatkan peningkatan mencerminkan sikap yang tidak bertanggungjawab.

"Pentadbiran Azmin berani membentangkan bajet defisit dengan jumlah perbelanjaan pembangunan lebih besar berbanding perbelanjaan pengurusan.

"Bajet defisit ini akhirnya bertukar menjadi bajet surplus (lebihan) hasil daripada keupayaan, ketelusan dan pentadbiran beliau yang efektif," tambahnya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.