- Iklan -
Berita

Bersatu akan guna logo PAS di Kelantan, kata Muhyiddin

Pengerusi Perikatan Nasional itu berkata keputusan menggunakan logo PAS di Kelantan dilihat tidak akan membawa masalah kepada gabungan tersebut.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Penyokong PAS berhimpun ketika pelancaran jentera pilihan raya parti itu di Banting awal bulan ini. Gambar: Bernama
Penyokong PAS berhimpun ketika pelancaran jentera pilihan raya parti itu di Banting awal bulan ini. Gambar: Bernama

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin memberitahu ahlinya yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Kelantan akan menggunakan logo PAS yang juga sebahagian daripada gabungan Perikatan Nasional (PN). 

Dua ahli Bersatu tersebut ialah penyandang kerusi Parlimen Jeli, Mustapa Mohamed atau lebih dikenali sebagai Tok Pa dan Ikmal Hisham Abdul Aziz bagi Parlimen Tanah Merah. 

Menurut Muhyiddin yang juga pengerusi PN, keputusan bersama majlis tertinggi untuk menggunakan logo PAS di Kelantan dilihat tidak akan membawa masalah kepada gabungan tersebut. 

"Tak apa. Pakai logo PAS (di Kelantan), mesti menang punya. 

"Calon Bersatu, Tok Pa atau Ikmal pakai logo PAS. Tak apa. Pangkah dia," katanya ketika berucap pada Himpunan Penyatuan Ummah sempena sambutan ulang tahun ke-32 kerajaan PAS di Kota Bharu, Kelantan malam tadi. 

Hadir sama, Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob dan Timbalan Menteri Besar Nik Mohamad Amar Nik Abdullah. 

Sebelum ini, PAS mengumumkan tiga negeri yang ditadbir kerajaan parti Islam itu akan menggunakan logo sendiri dalam pada PRU15 dan dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PN. 

Mengulas lanjut, Muhyiddin turut mengingatkan para pengundi di Kelantan supaya keluar mengundi meskipun cuaca dijangka tidak menentu pada musim tengkujuh. 

Katanya, meskipun PN sudah berusaha untuk menghentikan gesaan pemimpin Umno yang mahukan pilihan raya diadakan segera namun tarikh mengundi sudah pun ditetapkan. 

"Kita nak supaya dalam keadaan macam mana pun kita mesti upaya bentuk kerajaan yang baik kerana situasi (pentadbiran) kerajaan yang lepas terutama masa BN tadbir dah cukup rosak," katanya. 

Ini termasuk kerosakan dari segi penyelewengan duit rakyat, rasuah, masalah korupsi dan para pemimpin yang berdepan dengan kes-kes mahkamah. 

"Apakah kita mahu serahkan kuasa kepada mereka yang mungkar ini? 

"Inilah masanya, bukan sahaja di Kelantan tapi semuanya tolak BN dan PH." 

Masa depan Kelantan

Tambah Muhyiddin lagi, pengundi di Kelantan perlu memberi peluang kepada parti yang akan memandu hala tuju negeri itu supaya menjadi lebih pesat membangun dari pelbagai aspek. 

Termasuklah ekonomi, infrastruktur, fasiliti awam dan peluang pekerjaan kepada orang muda. 

Jelasnya, pencapaian kerajaan PAS selama 32 tahun di negeri itu tidak boleh dipersoal. 

Bagaimanapun, ianya tidak memadai untuk bertahan hanya dengan hasil khazanah negeri semata-mata. 

Kelantan perlukan hubungan kerjasama baik dengan kerajaan pusat seperti ketika PN menerajui Putrajaya selama 17 bulan. 

"Kalau Kelantan, kita akan rangka macam mana nak dibangunkan pesat lagi. Perindustrian mesti banyak. Mungkin ditambah lagi lebuh raya dan kemudahan lain supaya pelabur datang. 

"Tunai tanggungjawab mengundi dan doa kita capai kemenangan yang besar dan berjaya bentuk kerajaan."