- Iklan -
Berita

Mampukah selebriti pengaruhi peminat dalam kempen PRU15?

Walaupun selebriti mempunyai peranan penting ketika pilihan raya, namun penglibatan mereka dalam arena politik tidak selalunya berjaya.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Ahli parti menyertai program kempen politik di Kuala Lumpur menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018.
Ahli parti menyertai program kempen politik di Kuala Lumpur menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018.

Bagaikan satu tradisi, golongan artis menjadi sangat laris setiap kali tiba musim pilihan raya. 

Namakan sahaja, pasti ada penyanyi, pelakon mahupun pembikin filem akan mencanang jasa dan perjuangan pemimpin-pemimpin parti politik pilihan mereka di pentas ceramah masing-masing. 

Berbekalkan jutaan pengikut di media sosial, golongan ini dilihat sebagai figura yang berpengaruh dalam masyarakat. 

Selain bakat yang dimiliki, pandangan dan pendirian mereka dalam berpolitik turut mendapat perhatian para peminat. 

Ketua Penyelidik O2 Research Malaysia, Anis Anwar Suhaimi berkata selebriti sememangnya mempunyai peranan tertentu dalam politik meskipun bukan sebagai wakil rakyat. 

Menurut Anis, pengaruh yang dimiliki oleh golongan tersebut bergantung kepada reputasi, populariti dan latar belakang pendidikan masing-masing. 

Katanya, terdapat tiga bentuk pengaruh yang boleh diberikan oleh selebriti ketika turun membantu kempen parti politik. 

Pertama, kata Anis, memberi advokasi tentang isu semasa yang menjadi kepentingan awam seperti kos sara hidup ataupun urus tadbir pemimpin yang beri kesan kepada kehidupan seharian rakyat. 

"Maka, peminat atau orang awam akan menghargai keprihatinan oleh selebriti dalam menggunakan kelebihan popularitinya menyampaikan suara rakyat," katanya kepada MalaysiaNow.

Anis kini aktif menjalankan kajian tentang tingkah laku politik dan politik minoriti selain penyelidikan dalam kajian etnik. 

Di luar negara seperti Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK), sokongan selebriti boleh menjadi alat golongan berkuasa untuk mempengaruhi pengundi, meskipun impaknya boleh bercampur aduk dan menerima pelbagai reaksi. 

Sementara di Malaysia, nama-nama seperti Rosyam Nor; Wan Aishah Wan Ariffin, Zainal Abidin, Norman KRU, Khir Rahman, Zizie Ezette dan Anne Ngasri antara mereka yang aktif berkempen untuk parti politik pada siri pilihan raya umum (PRU) lalu. 

Mengulas lanjut, Anis berkata selebriti juga berpengaruh dalam menyalurkan sokongan kepada pemimpin atau parti yang dirasakan mereka layak untuk diketengahkan. 

Ini termasuk menyokong manifesto atau idea yang dicadangkan oleh pemimpin atau parti itu. 

Manakala ketiga ialah selebriti menyebarkan ideologi menerusi karya-karya seni mereka. 

Paling terbaru, kata Anis, idea nasionalisme yang dibawa dalam filem pecah panggung, Mat Kilau sebagai antara contoh nyata penerapan sebuah sistem nilai dalam kalangan penonton. 

"Dalam konteks ini, selebriti berperanan besar sebagai pengabsah terhadap sesebuah nilai atau ideologi yang sedang dipegang oleh pengikut mereka kerana kredibiliti yang dimilikinya. 

"Nilai atau ideologi ini akan memberi kesan langsung atau tidak langsung kepada sokongan bagi parti-parti politik di mana peminat akan mengikuti parti yang dipromisikan oleh selebriti tersebut jika nilainya adalah selari dengan mereka." 

Penerimaan rakyat 

Dalam pada itu, seorang penyanyi, pengacara TV dan pelakon mahu dikenali sebagai “S” berkata penglibatan dalam kempen politik amat menyeronokkan. 

Dia yang aktif mengikut kempen sebuah parti politik di Semenanjung Malaysia sejak PRU12 kerana mempunyai hubungan rapat dengan anak perempuan seorang ahli Parlimen berkata wang ringgit menjadi faktor utama dan pengalaman itu "amat menyeronokkan."

Dia menyifatkan, bayaran yang diberikan untuk mengikut program-program parti politik sepanjang kempen amat lumayan selain kos makanan dan penginapan ditanggung oleh parti. 

"Selain wang ringgit, saya turun berkempen kerana kenal rapat dengan pemimpin tersebut. Saya dan anaknya jadi rakan sejak sekolah. 

"Kempen PRU juga jadi peluang untuk saya berjumpa dengan peminat di kawasan luar bandar. Mereka betul-betul tunjukkan yang mereka teruja melihat artis datang ke kampung. Ia buat saya rasa terharu," katanya. 

Bagaimanapun, menurut S, amat sukar untuk mendapatkan kepercayaan peminat apabila melibatkan hal-hal politik. 

Ini memandangkan mereka yang hadir ke program kempen sebagai peminat dan tidak meletakkan diri mereka sebagai pengundi. 

"Ada negeri macam Kelantan, langsung tak peduli kalau artis turun kempen. 

“Mereka seperti tak suka hiburan. Ini ketika mula-mula saya turun kempen, mungkin 10 hingga 12 tahun lepas." 

Atas sebab itu, menurut S, ramai rakan-rakan selebritinya gagal dalam kerjaya politik. 

Pandangan S selari dengan kenyataan Anis.  

Anis menegaskan, bagi selebriti mempromosikan sesebuah parti politik secara langsung adalah sukar kerana peranannya di mata umum sebagai penghibur, bukannya pemimpin. 

Bagaimanapun, katanya masih ada selebriti yang berjaya mendaki tangga kerjaya dalam arena politik.

Contohnya, anak bekas ketua menteri Melaka ke-8, Dira Abu Zahar yang sebelumnya aktif berlakon kini bergelar ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim selepas memenangi pilihan raya negeri itu November tahun lalu. 

"Namun ramai tidak mendapat tempat dalam perwakilan kerana rakyat menyedari perbezaan antara bakat seni dan juga bakat kepimpinan untuk negara." 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.