- Iklan -
Berita

Kumpulan hak asasi Rohingya rayu supaya pemohon suaka tidak diusir

Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia menyelar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan ‘kuasa besar' kerana tidak mengambil lebih banyak langkah dalam menangani isu pelarian.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang wanita Rohingya menjaga anak-anaknya di rumah mereka di Selayang, Kuala Lumpur.
Seorang wanita Rohingya menjaga anak-anaknya di rumah mereka di Selayang, Kuala Lumpur.

Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (Merhrom) hari ini merayu supaya kerajaan menghentikan penghantaran pulang kira-kira 150 pencari suaka, menggesa Asean mencari penyelesaian bagi warga Myanmar yang mencari perlindungan di negara-negara rantau ini.

Dalam satu kenyataan, Presiden Merhrom Zafar Ahmad Abdul Ghani berkata keadaan di Myanmar masih "sangat teruk", memetik kes pembunuhan, rogol, penyeksaan dan penahanan yang dilakukan junta tentera.

"Kami ingin mengulangi bahawa pelarian bukan ancaman kepada mana-mana negara. Kami terpaksa melarikan diri daripada peperangan, pembunuhan beramai-ramai dan penindasan di tanah air sendiri dan mencari perlindungan di negara yang kami percaya boleh melindungi kepercayaan dan nyawa sementara masyarakat antarabangsa campur tangan untuk menamatkan perang dan genosid di negara kami,” katanya.

Zafar turut mengecam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan "negara kuasa besar" kerana tidak melakukan lebih banyak usaha dalam menghentikan peperangan dan konflik di seluruh dunia, berspekulasi mereka tidak mahu berbuat demikian demi kepentingan sendiri.

"Kami sangat kecewa melihat PBB sebagai badan yang diberi mandat di dunia gagal menghentikan pembunuhan beramai-ramai terhadap minoriti Rohingya di Myanmar," katanya.

"Kami berharap negara kuasa besar menggunakan pengaruh mereka untuk meningkatkan tindakan kepada junta tentera Myanmar untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai terhadap masyarakat Rohingya yang tiada kerakyatan, namun nyawa kami tidak penting bagi mereka."

Awal minggu ini, Malaysia dilaporkan menghantar pulang 150 warga Myanmar termasuk bekas pegawai tentera laut yang mencari suaka di negara ini.

Reuters juga memetik sumber yang mengatakan terdapat rancangan untuk menghantar pulang lebih ramai lagi pemohon suaka walaupun mereka berdepan bahaya ketika tiba di sana.

Zafar berkata dengan dasar pelarian yang "jelas dan komprehensif”, ia akan memberi manfaat kepada pencari suaka dan negara tuan rumah.

“Walaupun PBB dan pemimpin dunia mengetengahkan isu pelarian di seluruh dunia, namun nasib pelarian Rohingya sentiasa ketinggalan,” tambahnya.

"Kami adalah kumpulan pelarian yang dilupakan walaupun PBB sendiri mengkategorikan Rohingya sebagai etnik paling teraniaya di dunia."

Beliau turut menambah setakat ini seakan tiada tekad politik untuk campur tangan dalam isu Rohingya sekali gus menggesa supaya lebih banyak tindakan dibuat terhadap tentera Myanmar.

“PBB dan negara kuasa besar mesti berusaha ke arah mengurangkan perang dan konflik di seluruh dunia daripada mencari lebih banyak wang untuk menangani peningkatan jumlah pelarian,” katanya.