- Iklan -
Berita

Pengundi Lembah Pantai mahukan 'human touch' wakil rakyat

Mereka tiada masalah dengan penyandang kawasan itu, namun akan memutuskan siapa yang akan disokong selepas semua nama calon diumumkan.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Baharudin Md Som (kedua dari kanan) berbual dengan penduduk di gerainya yang terletak di flat PPR Kerinchi, Kuala Lumpur.
Baharudin Md Som (kedua dari kanan) berbual dengan penduduk di gerainya yang terletak di flat PPR Kerinchi, Kuala Lumpur.

Baharudin Md Som sudah mengusahakan gerai keluarganya di flat PPR Kerinchi, Lembah Pantai, Kuala Lumpur sejak sekian lama. 

Sebagai “orang kuat” di kawasan itu, dia banyak bergaul bukan sahaja dengan penduduk, tetapi parti-parti politik dan wakil rakyat yang bergilir menduduki kerusi Parimen Lembah Pantai. 

Di gerainya itu, penduduk sering berkumpul berbual sesama mereka selain menikmati hidangan yang dipesan. 

Komuniti penduduk di flat itu cukup aktif. 

Mereka banyak membantu ketika perintah kawalan pergerakan (PKPD) diperketatkan yang menyaksikan kawasan itu dipagar daripada orang ramai akibat kes Covid-19 yang tinggi. 

Menghampiri musim Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), mereka tiada masalah dengan penyandang kerusi sekarang namun masing-masing akan menentukan pilihan.

"Kami tiada masalah dengan Fahmi Fadzil atau mana parti lain, kita semua kawan. Kalau minta bantuan, cepat kita dapat.

"Apabila sudah tiba penamaan calon, baru kami akan tentukan siapa yang hendak kami pilih," katanya ketika ditemui MalaysiaNow baru-baru ini. 

PKR sudah memenangi kerusi Lembah Pantai sejak tiga penggal lalu. 

Fahmi menyandang kerusi itu menggantikan Nurul Izzah Anwar yang merupakan ahli Parlimen Lembah Pantai selama dua penggal, menewaskan Shahrizat Abdul Jalil dan Raja Nong Chik Zainal Abidin dari Barisan Nasional (BN). 

Sebelum itu, BN mempertahankan kerusi bandar tersebut sejak 1984. 

Meskipun Raja Nong Chik ditewaskan kali kedua pada PRU14 lalu, namanya tetap meniti di bibir penduduk PPR Kerinchi. 

"Tiada siapa boleh lawan khidmat Raja Nong Chik. 

“Dia tidak jadi ahli Parlimen pun masih berkhidmat untuk penduduk sini tanpa mengira bulu," katanya. 

PSX_20221014_135714

Ia turut dipersetujui oleh seorang penduduk.

Katanya, Raja Nong Chik yang juga bekas menteri Wilayah Persekutuan itu hadir datang memberi bantuan kepada setiap rumah ketika tempoh PKPD di kawasan tersebut. 

Berdasarkan perbualan dengan penduduk, sebenarnya pengundi di sini menagihkan sentuhan insani atau “human touch” oleh wakil rakyat mereka. 

Seorang wakil rakyat boleh berucap mengenai idealisme di media sosial, namun konsep-konsep itu mungkin terlalu jauh untuk difahami oleh pengundi yang mahu pemimpin yang boleh menyelesaikan keperluan mereka. 

Ia tidak terhad hanya kepada pengundi. 

Akar umbi parti turut mengkehendaki sentuhan insani itu. 

Mana-mana individu yang bercita-cita naik ke hierarki parti perlu menyantuni akar umbi serta anggota-anggota parti. 

Menurut Baharudin, dia lebih menggemari Ketua Umno Lembah Pantai, Ramlan Askolani. 

"Sesiapa pun telefon dia, dia akan jawab. Ada sesetengah yang berhormat, mereka tidak akan menjawab panggilan jika nombor tidak dikenali.

"Fahmi pun membantu juga, tetapi kami lebih selesa dengan Ramlan," katanya. 

Selain menguruskan hubungan dengan wakil rakyat, hubungan sesama penduduk juga perlu diperhatikan. 

Bagi seorang penduduk, Muhammad Azim Abd Ghani, penduduk di PPR itu berkata, mereka sedaya-upaya mengekalkan ukhuwah antara penduduk mengatasi sentimen kepartian. 

"Dahulu memang ada pergaduhan disebabkan perbezaan parti, bagi saya itu tak patut kerana kita semua satu blok perumahan. Kalau berlaku kesusahan, jiran kita yang pertama akan membantu.

"Sekarang ini kami akan bahagikan kawasan untuk parti-parti memacakkan bendera mereka supaya tidak ada pergaduhan," jelasnya. 

Fenomena memilih calon berbanding parti semakin kuat kelihatan, terutama calon tempatan yang arif dengan karenah tempatan. 

Baharudin secara terang-terang berkata, dia akan memboikot calon yang datang dari luar Lembah Pantai. 

Mengulas mengenai aspek sentuhan insani itu, pakar psikologi, Mohd Awang Idris daripada Universiti Malaya berkata dari sudut psikologi, hubungan antara wakil rakyat dan pengundi terkait dengan teori timbal balas atau “reciprocity”.

"Hubungan manusia dari segi teoritikalnya berasaskan sistem barter. Begitu juga halnya dengan wakil rakyat. Individu yang menjadi wakil rakyat perlu memberi sesuatu yang sama nilainya sebagai timbal kepada undi yang telah diberikan kepadanya. 

"Perkara ini dapat dilihat dalam masyarakat Asia dan Barat, namun mungkin ia lebih terlihat dalam budaya kita kerana faktor emosi memainkan peranan yang lebih kuat dalam masyarakat Asia yang kolektif," katanya.

Namun persoalan juga timbul mengenai budaya “warlord” yang mungkin timbul jika pengundi memilih berdasarkan kebajikan yang ditabur kepada mereka oleh wakil rakyat, meskipun jika seseorang itu berdepan masalah integriti.

Menurut Awang, ia terkait dengan “in-group bias” yang mana individu tersebut mungkin hanya boleh menang di tempat sedia ada. 

"Individu itu tidak akan mempedulikan laporan di media atau cacian oleh orang luar kerana dia hanya perlu tumpukan kepada 'in-group' sendiri. Tetapi jika dia bertanding di tempat lain, dia mungkin akan kalah.

"Di kawasannya sendiri, maklumat negatif terhadap wakil rakyat yang mempunyai sentuhan insani walaupun terpalit masalah integriti mungkin disaring dan tidak masuk ke minda pengundinya," katanya.