Pakatan Harapan (PH) dijangka akan memainkan isu tol lebuh raya dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sekali lagi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), meskipun pentadbirannya selama 22 bulan menyaksikan gabungan itu gagal melaksanakan beberapa janji yang dibuat dalam manifesto mereka empat tahun lalu.
Bagaimanapun, penganalisis politik Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, mengambil pengajaran terhadap janji-janji PRU14 yang tidak ditunaikan, PH dijangka akan lebih berhati-hati dalam merangka manifesto mereka kali ini.
"Manifesto mungkin akan masukkan (tol dan PTPTN), tapi terma mungkin yang berbeza. Mungkin mereka akan buat kajian dahulu sama ada boleh dilaksanakan atau tidak.
"Manifesto lalu dibuat seolah-olah tanpa mengukur baju di badan sendiri," katanya kepada MalaysiaNow.
Manifesto yang diberi nama 10 Janji 100 Hari yang diangkat PH pada PRU14 lalu menawarkan antara lain, penghapusan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), subsidi petrol bersasar, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah selain penangguhan bayaran balik PTPTN untuk mereka yang bergaji RM4,000 ke bawah.
PTPTN dan kutipan tol di lebuh raya antara dua isu utama yang menarik perhatian pengundi kepada PH.
Isu PTPTN menyasarkan golongan graduan yang sebelum ini, berdepan dengan tindakan tidak dibenarkan ke luar negara jika disenarai hitam .
Isu tol turut memberi kesan pada zaman Barisan Nasional (BN) lagi, apabila gabungan itu dilihat turut cuba memikat hati pengundi dengan pemansuhan beberapa plaza tol, selain membina Lebuh Raya Pan Borneo dan Lebuh Raya Utama Tengah tanpa tol.
Bagaimanapun tawaran PH diibaratkan janji bulan dan bintang apabila ia diakui sendiri oleh perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan “manifesto bukan kitab suci”.
Populariti PH merudum setelah beberapa bulan mentadbir ekoran persepsi yang timbul akibat kesukaran menunaikan janji-janji itu.
Mahathir bahkan berkata manifesto itu dilakukan kerana PH tidak menyangka mampu membentuk kerajaan persekutuan.
Maszlee Malik, bekas menteri pendidikan PH pernah menegaskan kepada graduan untuk terus membayar pinjaman PTPTN walau “apa pun yang dikatakan manifesto” itu.
Bekas menteri kerja raya PH, Baru Bian pula berkata terpulang kepada rakyat untuk “terus bermimpi” mengenai penghapusan tol.
Sebagai rekod, PH menunaikan janji seperti penghapusan GST dan pengenalan i-Suri.
Bagi isu tol, gabungan itu menurunkan kadar tol di Lebuh Raya Utara Selatan sebanyak 18% namun memanjangkan konsesi kepada pihak operator daripada tahun 2038 kepada 2058.
Penganalisis politik, Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya pula berkata, janji yang ingin diletakkan dalam manifesto perlu bersifat realistik.
Dalam isu PTPTN dan tol, katanya akan memberi impak kepada undi rakyat terhadap gabungan berkenaan.
"Namun perlu diberikan penjelasan mengenai sumber pendapatan untuk tampung perbelanjaan tersebut.
“Tanpa penjelasan realistik, sukar rakyat akan terima atau akan berlaku backlash kerana selama ini mereka mungkin rasa tertipu," katanya.
Dalam kempen PRU14, Ahli Parlimen Damansara Tony Pua berkata pengambilalihan konsesi tol dianggarkan pada harga RM6.2 bilion berbanding RM400 bilion yang dinyatakan BN.
Sementara itu, pensyarah di Universiti Tunku Abdul Rahman, Liew Wui Chern pula menjelaskan, manifesto menyediakan panduan kepada pengundi mengenai hala tuju dan polisi yang akan diusahakan kerajaan yang bakal dibentuk.
Katanya, meskipun bukan “kitab suci”, ia penting sebagai indeks dan penilaian yang membolehkan pengundi melihat prestasi parti yang diundi.
"Akan ada perubahan. Anda mungkin berfikir yang memandangkan ia dokumen polisi, manifesto kelihatan tidak berguna, tetapi ia menunjukkan hala tuju parti politik dan matlamat mereka.
"Pengundi boleh menggunakan manifesto sebagai kad laporan untuk menilai prestasi sesebuah parti politik, dan mementukan sama ada mereka mahu mengundi parti sama lagi," katanya.
Mazlan berkata, PH sebaliknya dicadangkan tidak memasukkan dua perkara itu kerana kesan besar terhadap rakyat sebelum ini akibat tidak ditunaikan.
"Mungkin mereka patut letak manifesto yang lebih bersifat umum," katanya.