Timbalan Presiden MIC M Saravanan mengakui bukan senang untuk mengambil hati golongan belia dengan menggunakan "tiket" politik dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
Beliau berkata belia kini khususnya yang berumur 18 tahun ke atas amat matang dan mampu membezakan baik buruk sesuatu perkara, termasuk dalam memilih calon berkaliber untuk memenangi PRU15.
"Golongan belia boleh menilai yang mana betul dan salah, malah mereka boleh melihat sendiri apa yang berlaku pada PRU14 dan saya percaya mereka akan mengambil keputusan terbaik (untuk mengundi) dan membantu untuk menstabilkan kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu jemputan dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV yang membincangkan tajuk "Pesta Cahaya Dalam Pilihan Raya" semalam.
Ditanya mengenai cabaran yang bakal dihadapi ketika gelombang PRU15, Saravanan yang juga menteri sumber manusia dan ahli Parlimen Tapah berkata media sosial merupakan antara rintangan terbesar yang perlu ditempuhi memandangkan pengaruh alam maya amat ketara ketika ini.
“Ketika PRU14, pengaruh media sosial lebih kepada mesej tular melalui WhatsApp, dan buat masa ini kita lihat ia lebih kepada TikTok. (Biarpun) media sosial menjadi cabaran utama masa PRU15, (namun) ia juga antara medium yang memainkan peranan penting kelak,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRU akan diadakan pada 19 November dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 5 November, manakala pengundian awal pada 15 November.
Sementara itu Saravanan berkata kerajaan terpaksa membubarkan Parlimen dan mendepani PRU15 kerana tiada kestabilan politik.
"Walaupun kerajaan telah mengambil pelbagai inisiatif dalam usaha memulihkan ekonomi pasca Covid-19, namun kekangan yang kita lihat adalah tiada kestabilan politik.
"Kerana tiada kestabilan politik, ia secara langsung mewujudkan ketidakselesaan dalam kalangan pelabur. Cuma, rakyat kena bantu kami untuk kekalkan kestabilan politik. Jangan sesekali kita ulang sejarah dalam satu penggal kita tukar (perdana menteri) beberapa kali," katanya.