- Iklan -
Berita

Helikopter bawa petugas perubatan mendarat cemas di Brinchang

Lima penumpang dan seorang juruterbang selamat namun mengalami kecederaan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Rangka helikopter membawa enam orang terhempas di Brinchang awal hari ini. Gambar: Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang
Rangka helikopter membawa enam orang terhempas di Brinchang awal hari ini. Gambar: Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang

Lima petugas perubatan termasuk seorang doktor selamat namun mengalami kecederaan selepas helikopter yang dinaiki mereka terhempas semasa melakukan pendaratan cemas di kawasan Brinchang tengah hari tadi. 

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang berkata juruterbang helikopter dikenali sebagai Kapten Pedro, yang turut selamat dalam insiden itu dilaporkan tidak mengalami kecederaan.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan telah menerima maklumat berhubung kemalangan udara membabitkan sebuah helikopter jenis Airbus AS 355 F2 dengan nombor pendaftaran 9M-SSW di Cameron Highlands itu pada 1.03 tengah hari.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Datuk Chester Voo dalam kenyataan berkata helikopter berkenaan, dengan seorang juruterbang serta lima penumpang, berlepas dari Kampung Gawin, Kelantan ke Tanjung Rambutan, Perak pada 12.20 tengah hari.

Helikopter berkenaan dikendalikan oleh Layang Layang Aerospace Sdn Bhd, katanya.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan, mangsa telah ditemui pada kira-kira 3.51 petang.

“Mangsa telah diberi rawatan awal,” kata jurucakap itu yang menurutnya juga salah seorang mangsa mengalami kecederaan patah tulang paha.

Voo berkata siasatan lanjut akan dilaksanakan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia mengikut Bahagian 26 Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi