- Iklan -
Berita

Rafizi calon PM PH jika Anwar kalah di Tambun?

Penganalisis berkata ia adalah sejajar dengan hierarki parti dalam Pakatan Harapan.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden PKR Anwar Ibrahim menjawab soalan ketika sidang media di Petaling Jaya hari ini.
Presiden PKR Anwar Ibrahim menjawab soalan ketika sidang media di Petaling Jaya hari ini.

Penganalisis politik menjangkakan Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli sebagai calon perdana menteri alternatif Pakatan Harapan (PH) sekiranya Anwar Ibrahim tumbang di Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang. 

Penganalisis politik veteran, Ahmad Atory Hussain berkata ini kerana ia mengikut aturan hierarki parti dalam PH.

"Kalau PH menang selesa, tapi Anwar kalah di Tambun, maka Rafizi akan menjadi PM atas kapasiti beliau sebagai timbalan presiden PKR. 

"DAP tidak mungkin, walaupun bilangan ahli Parlimennya mungkin lebih berbanding PKR. Ini disebabkan sentimen kaum," katanya kepada MalaysiaNow.

Namun Atory menjangkakan, pada situasi sedemikian, jawatan timbalan perdana menteri akan diberikan kepada DAP.

Rafizi, yang dijangka bertanding di Pandan, dilihat mempunyai kem yang mendominasi parti itu setelah fraksi Mohamed Azmin Ali dipecat dari PKR.

Tindakan PH mencalonkan presiden PKR itu di kerusi Tambun disifatkan sebagai “do-or-die” yang mungkin menoktahkan karier Anwar setelah empat dekad berkecimpung dalam politik.

Ini kerana kerusi tersebut bukan mudah untuk dimenangi Anwar. 

Secara tradisinya, Tambun dilihat sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN) yang dimenangi Ahmad Faizal Azumu pada PRU14 mewakili Bersatu ketika parti itu masih dalam gabungan PH.

Faizal berjaya menewaskan Ahmad Husni Hanadzlah dari BN dan Ibrahim Zakaria dari PAS di kerusi tersebut pada PRU14 dengan majoriti 5,320. 

Sejak dibebaskan pada 2004, bekas timbalan perdana menteri itu menjadi calon perdana menteri dalam gabungan pembangkang, bermula dari era Pakatan Rakyat sehingga PH. 

PRU14 menjadi pengecualian apabila Dr Mahathir Mohamad menjadi calon perdana menteri gabungan pembangkang ketika Anwar masih dalam penjara.

Persoalan siapa bakal menjadi perdana menteri sekiranya tumpas di Tambun tidak dijawab secara terus ketika ditanya kepada setiausaha politik Lim Kit Siang, Syahredzan Johan.

Bagaimanapun, Syahredzan berkata, beliau yakin Anwar akan menang di kerusi Tambun.

Sementara itu, Oh Ei Sun, felo kanan Singapore Insitute of International Affairs turut bersetuju dengan kemungkinan tersebut. 

"Secara teorinya, Rafizi bukan? Secara praktikalnya, tidak boleh bukan Melayu. 

“Saya yakin ada ahli Parlimen PKR akan serahkan kerusinya untuk Anwar," ujarnya, merujuk kepada Langkah Port Dickson.

Anwar yang mendapat pengampunan diraja selepas PRU14 mengatur langkah itu bagi membolehkan dirinya kembali ke Dewan Rakyat.

Menurut Oh, ahli-ahli Parlimen Melayu dalam DAP tidak mempunyai “ketokohan” yang diperlukan untuk menjadi orang nombor satu di Seri Perdana. 

"Perdana menteri Melayu dari DAP akan dilihat sebagai boneka dan tidak akan bertahan lama," katanya. 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.