- Iklan -
Berita

Mahathir umum 8 calon Pejuang ketika rundingan elak pertembungan dengan PN diteruskan

Mereka termasuk Pengerusi Gerakan Tanah Air Dr Mahathir Mohamad dan anaknya Mukhriz Mahathir, yang akan mempertahankan Langkawi dan Jerlun.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri dan Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri dan Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir Mohamad berkata Pejuang kini terlibat dalam rundingan bersama Perikatan Nasional (PN) untuk mengelakkan pertembungan pelbagai penjuru pada pilihan raya akan datang.

Bekas perdana menteri itu turut mengumumkan lapan calon termasuk beliau yang akan bertanding di bawah bendera Pejuang.

Beliau menambah keputusan berhubung 100 nama calon lagi akan bergantung dengan hasil rundingan bersama PN.

Selain Mahathir yang akan mempertahankan kerusi Langkawi, calon lain termasuk anaknya, Mukhriz Mahathir (Jerlun) dan Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu).

Calon lain yang turut diumumkan Pejuang hari ini ialah Che Asmah Ibrahim (Sepang), Mior Nor Haidir Suhaimi (Tapah), Harumaini Omar (Hulu Selangor), Mohd Shaid Rosli (Kuala Selangor) dan Khairuddin Abu Hassan (Titiwangsa).

Menurut Mahathir, nama-nama calon tersebut sudah pun ditetapkan oleh gabungan itu dan diharapkan tidak berlaku pertindihan dengan calon-calon dari Perikatan Nasional (PN).

"Bila kita nak adakan kerjasama dengan PN, kita harapkan semua lapan calon ini diterima," katanya pada satu sidang media di Putrajaya.

Bekas perdana menteri itu juga berkata masih terdapat beberapa isu kecil yang masih belum diputuskan.

Katanya, walaupun kedua-dua pihak mungkin bersetuju untuk membentuk sebarang kerjasama, calon-calon yang akan bertanding harus dipastikan sesuai dan tidak bertindih di kawasan masing-masing.

"Kita berpendapat bahawa kerjasama ini menghasilkan calon yang agak ramai. Dan kita tidak ada masalah nak ada calon untuk 120 (kerusi) yang dijanjikan.

"Mungkin juga lebih dari 120 kerusi," katanya sambil menambah keputusan rundingan bersama PN itu akan diumumkan 2 November depan.

Pada Ogos lalu, Gerakan Tanah Air (GTA) berkata pihaknya berhasrat untuk bertanding di 120 dari 222 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 dengan menyasarkan kerusi-kerusi majoriti Melayu khususnya kawasan tradisi Umno.

Pada 19 Oktober, pengerusi GTA yang terdiri dari Pejuang, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) and Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman), mengatakan pihaknya tidak akan bekerjasama sama ada dengan Umno atau Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya, walaupun musuh utama GTA adalah Umno, namun bekerjasama dengan PH akan menyebabkannya kehilangan undi Melayu.

Berhubung kerjasama dengan PN, beliau berkata GTA mahu melihat soal dasar parti gabungan itu sama ada ia sejajar dengan matlamat perjuangannya.

"Kita nak tengok jika mereka sependapat dengan kita atau tidak. Adakah pemimpinnya terlibat dengan jenayah dan sama dasar dan prinsip.

"Mungkin ada kerjasama."

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi