Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Najib Razak untuk mencabar keputusan Jabatan Penjara yang enggan membenarkan beliau menghadiri persidangan Dewan Rakyat.
Hakim Ahmad Kamal Md Shahid memutuskan bahawa tiada isu yang timbul untuk dipertimbangkan oleh mahkamah, kerana Najib bukan lagi ahli Parlimen berikutan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober.
"Sebaik sahaja Parlimen dibubarkan, pemohon (Najib) bukan lagi seorang ahli Parlimen. Sehingga dan melainkan pengampunan diberikan, atau sabitan diketepikan selepas semakan semula, tidak ada kemungkinan pemohon sekali lagi akan menjadi ahli Parlimen yang pada masa sama juga seorang banduan, kerana undang-undang menghalang sesiapa yang disabit kesalahan untuk bertanding, selaras dengan Perkara 48(5) Perlembagaan Persekutuan.
”Oleh itu, permohonan kini menjadi akademik dan ia tidak mempunyai merit. Saya menolak permohonan itu kerana dianggap remeh dan menyusahkan," kata hakim.
Pada 5 Oktober lepas, Najib, 69, memfailkan permohonan mendapatkan kebenaran bagi semakan kehakiman untuk mencabar keengganan Jabatan Penjara membenarkan permohonannya menghadiri persidangan Dewan Rakyat.