- Iklan -
Berita

Menteri bidas Badan Peguam kerana enggan terlibat dalam siasatan Tommy Thomas

Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Badan Peguam tidak sepatutnya mempersoalkan pendirian pasukan siasatan yang tidak berpihak selepas enggan sertai rundingan bersama.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Gambar: Bernama
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Gambar: Bernama

Kenyataan Badan Peguam Malaysia yang mempersoalkan sikap tidak berpihak pasukan petugas khas (STF) dalam menyiasat dakwaan bekas peguam negara Tommy Thomas dalam buku memoirnya “My Story: Justice in the Wilderness” adalah tidak berasas dan tidak tepat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata pasukan itu telah menjemput Badan Peguam Malaysia untuk mengambil bahagian dalam sesi perundingan bagi memastikan pandangan semua pihak diambil kira dalam menyediakan laporan itu, namun badan itu telah menolak jemputan tersebut.

"Oleh kerana itu, kenyataan yang memberi persepsi negatif terhadap sikap tidak berpihak STF adalah satu perkara yang tidak berasas. Badan Peguam Malaysia sepatutnya tampil dan memberi pandangan mereka mengenai pelbagai dakwaan yang dikenal pasti oleh STF.

"Menolak untuk menyertai rundingan itu dan kemudian mempersoalkan sikap tidak berpihak STF dan ahlinya tidak seharusnya menjadi cara Badan Peguam dalam menangani isu seumpama ini," katanya dalam satu kenyataan.

Wan Junaidi menjawab kenyataan presiden Badan Peguam Malaysia Karen Cheah Yee Lynn pada 25 Oktober yang mengatakan Badan Peguam terganggu dengan tindakan STF yang mengubah status laporannya pada waktu yang tidak sesuai bertepatan dengan pembubaran Parlimen dan Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang yang dijadualkan pada 19 November.

Cheah juga berkata dilaporkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob telah menggesa jentera pilihan raya Barisan Nasional untuk memanfaatkan laporan yang didedahkan itu, mengatakan ia boleh menyebabkan salah guna kuasa berlaku.

Menjelaskan lebih lanjut, Wan Junaidi berkata semua penemuan yang diperoleh STF adalah berdasarkan 19 perundingan yang dijalankannya melibatkan pelbagai pihak berkepentingan dan pasukan itu juga telah meneliti pelbagai dokumen yang disediakan oleh agensi-agensi berkaitan.

"Saya harus menegaskan bahawa metodologi demikian telah dilaksanakan, beberapa isu dianalisis, selain pihak berkepentingan yang terlibat dalam sesi perundingan itu dan mereka yang enggan terlibat juga semuanya disenaraikan dalam laporan tersebut. Ini jelas menunjukkan bahawa STF telah menjalankan tugas secara bertanggungjawab, secara telus dan tidak berat sebelah," katanya.

Beliau menambah STF juga telah mengemukakan cadangan penambahbaikan dalam pelbagai bidang seperti kehakiman dan sistem perundangan untuk pertimbangan selanjutnya oleh kerajaan.

Pasukan petugas itu ditubuhkan oleh Kabinet pada 22 Disember tahun lalu untuk menyiasat dan menganalisis maklumat mengenai dakwaan yang dinyatakan oleh Tommy Thomas dalam bukunya.

Penemuan siasatan itu kemudiannya dilaporkan kepada Kabinet pada 30 September tahun ini.