- Iklan -
Berita

PN selesai agihan kerusi PRU15, nafi runding kerjasama rasmi dengan GTA

Muhyiddin Yassin berkata semua jentera Bersatu, PAS dan Gerakan telah diarahkan untuk mengatur langkah bersama bagi memperkukuhkan jentera PN dalam menghadapi pilihan raya itu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin.
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin.

Pembahagian kerusi di Semenanjung antara parti komponen Perikatan Nasional (PN) untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah dimuktamadkan, kata Pengerusi PN Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga presiden Bersatu berkata keputusan itu dicapai atas semangat setia kawan, saling menghormati, bertoleransi serta memberi ruang dan peluang kepada semua pihak dalam PN.

Katanya semua jentera Bersatu, PAS dan Gerakan telah diarahkan untuk mengatur langkah secara bersama bagi memperkukuhkan jentera PN dalam menghadapi pilihan raya itu.

“Dalam beberapa hari akan datang, kita akan tetapkan tarikh untuk setiap negeri di bawah PN untuk umumkan bukan sahaja kerusi tetapi calon yang telah putuskan untuk kerusi tersebut,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat PN  di Ibu Pejabat Bersatu di Bangunan Yayasan Selangor semalam.

Mesyuarat yang bermula pukul 4 petang itu turut dihadiri pemimpin PN antaranya Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ketua Penerangan PN Mohamed Azmin Ali.

Dalam perkembangan lain, Muhyddin berkata PN tidak pernah mengadakan rundingan secara rasmi bersama Gerakan Tanah Air (GTA) pada peringkat parti untuk bekerjasama pada PRU15. 

Pengerusi Penaja GTA Dr Mahathir Mohamad semalam dilaporkan berkata rundingan tersebut masih dijalankan namun terdapat masalah yang belum diselesaikan.

Beliau turut memberi masa dua hari iaitu sehingga 2 November depan kepada PN untuk memuktamadkan kerjasama dengan GTA.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi
- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.