- Iklan -
Berita

Ulasan bakal ‘disembelih’ hanya gurauan, kata Amirudin

Menteri besar Selangor itu berkata Mohamed Azmin Ali ‘kehabisan modal politik'.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari. Gambar: Bernama
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari. Gambar: Bernama

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari hari ini mengaku menghubungi pendahulunya Mohamed Azmin Ali berhubung kebimbangannya untuk menentang penyandang kerusi Gombak itu, sehari selepas pembantunya menafikan perbualan sedemikian berlaku.
 
Bagaimanapun, ketika bercakap pada sidang media di Klang, Selangor Amirudin berkata perbualan antara mereka berdua hanya sekadar gurauan sahaja.

Amiruddin berkata beliau menghubungi Azmin dan sempat “berbasa-basi” dengan menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu sebelum berbincang mengenai urusan kerja.

“(Tidak sesekali) saya dedahkan rahsia parti. Ia hanya gurauan, tidak bersangkut hal peribadi. Kalau dia nak anggap semua benda jadi serius, tak apalah, saya tahu dia agak 'boring' (bosanlah) tu," katanya dipetik The Star.

Beliau juga mendakwa perbualan kecil antara mereka dianggap serius oleh Azmin dan mengatakan menteri kanan sudah “kehabisan modal politik" dalam membuat dakwaan itu.

Awal minggu ini, Azmin, penyandang Parlimen Gombak selama tiga penggal, berkata Amirudin l menghubunginya bulan lalu untuk memberitahu kebimbangannya mengenai agenda sebenar di sebalik pencalonannya di Gombak.

Apa yang didakwa Azmin itu turut disokong isyarat kuat Presiden PKR Anwar Ibrahim yang berkata Amirudin akan dihantar untuk bertanding menentang pemimpin Bersatu itu selepas sebelumnya membayangkan beliau sendiri akan bertanding menentang bekas timbalannya itu. 

"Dia kata, 'Aku disuruh bertanding di Gombak. Aku tau Min, ini dia nak sembelih aku di Gombak'," kata Azmin pada majlis Perikatan Nasional yang dianjurkan oleh PAS di Taman Melewar, Gombak, merujuk perbualannya dengan Amirudin.

Amirudin kemudiannya membisu mengenai dakwaan tersbebut, namun pembantunya, Jay Jay Denis, menafikan dakwaan Azmin dengan menyifatkannya sebagai "satu lagi siri penipuan beliau sejak Februari 2020".

“Azmin harus mula insaf kerana rakyat sedang menilai dan akan menolak pemimpin tidak bermaruah yang tidak mampu bercakap benar,” katanya kepada MalaysiaNow dalam satu kenyataan ringkas.

Azmin adalah antara sekumpulan ahli Parlimen PKR yang dipecat daripada parti selepas perselisihan antara mereka dengan Anwar.

Selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada awal 2020, beliau menyertai Bersatu, dan akan mempertahankan Gombak dengan tiket PN.

Sementara Amirudin dilihat ramai sebagai protege Azmin semasa beliau menjadi timbalan presiden PKR.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.