- Iklan -
Berita

Apabila wanita dipinggirkan dalam kempen PRU

Suri rumah dan ibu bekerja menggesa kerajaan memberi lebih banyak perhatian terhadap pandangan mereka.

Nur Hasliza Mohd Salleh
4 minit bacaan
Kongsi
Seorang wanita membeli buah-buahan di USJ 10, Subang Jaya. Suri rumah bergelut untuk menyara kehidupan ketika ahli politik terpaksa berdepan masalah kos sara hidup untuk ditangani.
Seorang wanita membeli buah-buahan di USJ 10, Subang Jaya. Suri rumah bergelut untuk menyara kehidupan ketika ahli politik terpaksa berdepan masalah kos sara hidup untuk ditangani.

Menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), ahli politik digesa untuk mengambil kira pandangan kumpulan majoriti yang besar tetapi sering diam dan diabaikan sedangkan mereka mewakili hampir semua isi rumah dalam negara: Mereka ialah golongan ibu, suri rumah dan wanita bekerja.

Meskipun penglibatan mereka dilihat semakin ketara dalam Parlimen, masih wujud keraguan bahawa pandangan mereka terhadap politik tempatan tidak diberi peluang setara dengan golongan lelaki dan bapa. 

Ini menjadikan ramai beranggapan perbincangan politik hanyalah “kelab” untuk lelaki dewasa.

Nurul Diyana Adli, seorang jururawat di sebuah hospital swasta di Kelana Jaya, Selangor berkata golongan wanita tanpa mengira latar belakang pendidikan dan ekonomi adalah kunci utama pergerakan politik dan pembangunan masyarakat.

Bercakap kepada MalaysiaNow, Diyana berkata tiada golongan yang lebih memahami isu semasa dan keperluan masyarakat berbanding ibu dan suri rumah.

“Siapa yang lebih peduli perihal cuti bersalin ibu dan bapa berbanding golongan wanita sendiri? Yuran taska dan belanja sekolah anak-anak siapa yang buat kira-kira kalau bukan ibu atau suri rumah?

“Saya pasti kalau calon-calon pemimpin ambil masa berbual dengan orang-orang macam kami, banyak isu-isu sebenar yang akan diketengahkan berbanding masalah besar seperti rasuah yang sering disebut tapi tiada penyelesaiannya,” kata Diyana yang juga ibu kepada dua orang anak perempuan berusia 11 dan lapan tahun.

Tambahnya lagi, masalah seperti kenaikan harga barang dan kelemahan sistem pendidikan tidak pernah diberikan perhatian secara serius jika bukan golongan wanita khususnya para ibu yang memperjuangkannya dari peringkat awal sehingga menjadi perhatian pembuat dasar dan perbincangan umum.

“Tidak satu pun daripada isu-isu ini dilihat sebagai hal utama sebelum wanita bercakap mengenainya. 

“Sebab kami yang berurusan dengan benda-benda ini setiap hari.”

Beberapa kajian akademik di Malaysia menulis dapatan mereka mengatakan golongan wanita seringkali dijauhi untuk berbicara mengenai politik disebabkan beberapa faktor. 

Pertama, faktor emosi. 

Golongan ibu dan suri rumah digambarkan sebagai individu yang banyak menguruskan hal rumahtangga dilihat sebagai agresif dan cepat marah kerana terlalu letih.

Ini menyebabkan ramai pihak meletakkan mereka di luar daripada senarai untuk berbincang tentang politik semasa.

Manakala bagi golongan wanita bekerjaya pula boleh diletakkan pada dua kategori sama ada mereka sudah berkahwin ataupun tidak. 

Sekiranya masih bujang, golongan ini pula dilihat sebagai lebih beremosi kerana susah mendapatkan jodoh dan terlalu berfikiran negatif terhadap sesuatu perkara.

Sekali lagi, pandangan mereka tentang pembentukan dasar negara disisihkan.

Bagi wanita bekerjaya yang sudah berkahwin, mereka mungkin termasuk dalam golongan ibu sekiranya memiliki anak ataupun hanya golongan bekerja sekiranya belum memiliki anak.

Wanita bekerjaya yang belum memiliki anak lazimnya mendapat perhatian ramai pihak kerana dianggap sebagai lapisan masyarakat yang ideal. 

Ini kerana keupayaan untuk bekerja dan memiliki kuasa ekonomi sendiri tetapi pada masa sama mampu merancang pembinaan keluarga.

Mereka ini dilihat sebagai golongan wanita yang seimbang dalam segala aspek termasuk kewangan, emosi dan kesihatan mental.

Bagaimanapun, keperluan setiap kategori di atas adalah berbeza. 

Golongan ibu dan suri rumah yang menguruskan anak-anak memerlukan kepentingan yang berbeza berbanding golongan wanita bekerja bujang. 

Misalnya, wanita bujang tidak perlu fikir tentang turun naik harga pasaran susu bayi dan beban kewangan untuk menguruskan anak-anak bersekolah.

Manakala golongan suri rumah pula tidak akan memahami tekanan psikologi di tempat kerja yang dihadapi oleh golongan wanita bekerjaya. 

Perkembangan ini menyebabkan wanita sukar mendapat tempat dalam perbincangan umum tentang politik semasa kerana wanita dan lelaki tidak bermula daripada garisan yang sama.

Ini juga sudah menjadi sebahagian daripada budaya di kebanyakan negara. 

Apabila golongan lelaki bercakap mengenai politik, tiada kategori diletakkan ke atas mereka berbanding golongan wanita.

Sebagai contoh, dalam pergerakan parti politik, wanita masih diletakkan sebagai sayap parti sekaligus menutup ruang untuk mereka mengepalai sesebuah parti.

Kempen tidak mesra wanita

Sementara itu, seorang peniaga pasar malam mahu dikenali sebagai Kak Yah Mahadi berkata, kempen pilihan raya di tempatnya mengundi tidak mesra dengan golongan wanita apabila calon hanya banyak mendekati lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan golongan lelaki seperti masjid dan kedai-kedai kopi.

Menurut Kak Yah, dia sudah menjadi pengundi di Parlimen Puchong sejak tiga penggal lalu.

Dia mengakui dirinya dan rakan-rakan wanita lain tidak pernah didekati oleh calon pilihan raya setiap kali musim mengundi.

“Nak bagitahu harga tomato mahal pun susah, nak jumpa muka (calon) payah sangat. Dulu beli tomato tiga biji baru harga RM1. Sekarang, satu biji pun dekat RM1.

“Bila orang datang beli sayur, mereka merungut kita jual mahal. Tapi harga sekarang semua dan naik. Peniaga pun memasak kat rumah. Macam saya, kena beli juga sayur walaupun saya sendiri menjual sebab keluarga nak makan.

“Tapi tiada yang nak dengar, tulis di Facebook bukan boleh viral (tular) pun,” katanya kepada MalaysiaNow ketika tinjauan ke tapak pasar malam di Presint 2, Putrajaya.

Bagaimanapun, kata ibu kepada empat orang anak itu, niatnya bukan mahu golongan wanita menonjolkan diri apabila bercakap tentang politik. 

Hasratnya cuma mahukan ahli politik yang cakna dan mesra dengan wanita terutamanya golongan ibu dan suri rumah.

Ini memandangkan, golongan itu tidak mempunyai pekerjaan dan pendapatan selain bergantung kepada tanggungan oleh suami sebagai ketua keluarga.

“Kita bukan mahu duit kerajaan. Kalau boleh, kerajaan baru usahakan turun harga-harga barang yang mahal supaya boleh berjimat untuk belanja keluarga.”

Pandangan Kak Yah senada dengan pelanggannya Norizan, seorang pembantu tadika swasta di Puchong.

Katanya, apabila pemimpin tidak mesra dengan pendapat golongan wanita, ianya boleh dikesan dengan kelemahan infrastruktur dan fasiliti yang disediakan kerajaan.

“Bila kita ambil serius pandangan ibu bekerja dan suri rumah, tidak akan ada isu nurseri tak disediakan di pejabat, tempat tukar lampin bayi tak disediakan di hospital kerajaan dan ruang menyusu bayi di kawasan awam.

“Semua ini tak akan jadi isu sebab pertamanya, ahli politik dengar cakap ibu, suri rumah dan wanita bekerja.”

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.