- Iklan -
Berita

Tiada kaitan campur tangan urusan negara, kumpulan hak asasi bidas Hamzah berhubung pelarian

Lawyers for Liberty berkata menteri dalam negeri ‘tidak mengendahkan’ isu sebenar yang dihadapi ketika ini.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pekerja asing diangkut ke dalam trak untuk dibawa ke depoh tahanan imigresen di Semenyih selepas serbuan di Dengkil tahun lalu. Gambar: Bernama
Pekerja asing diangkut ke dalam trak untuk dibawa ke depoh tahanan imigresen di Semenyih selepas serbuan di Dengkil tahun lalu. Gambar: Bernama

Kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) hari ini mengecam menteri dalam negeri berhubung kenyataannya yang memberitahu Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan badan hak asasi supaya tidak campur tangan dalam hal ehwal Malaysia berhubung penghantaran pulang warga Myanmar ke negara asal mereka, mengatakan Hamzah Zainudin "tidak mengendahkan" kebimbangan sebenar mengenai isu pelarian yang dihadapi negara.

Pengarah LFL Zaid Malek berkata UNHCR, sebagai sebuah badan yang ditugaskan untuk melindungi pencari suaka dan pelarian, akan campur tangan sekiranya tindakan kerajaan akan menyebabkan mereka berdepan risiko bahaya yang serius.

“Ia bukan tindakan yang mahu campur tangan dalam hal ehwal negara atau menghadkan kuasa kerajaan dalam melindungi sempadannya, seperti yang didakwa menteri dalam negeri,” katanya.

Badan itu turut berkata UNHCR membangkitkan isu yang khusus mengenai pengusiran pencari suaka dari Myanmar, dan satu hal yang "mengejutkan" jika Hamzah gagal memahami konsep asas bahawa pencari suaka dan pelarian adalah mereka yang melarikan diri dari negara asal kerana takut berdepan penindasan, pelanggaran hak asasi manusia, atau pembunuhan beramai-ramai oleh kerajaan mereka sendiri.

"Mereka tidak melakukannya secara rela tetapi kerana terdesak disebabkan ancaman bahaya yang sangat jelas dapat menjejaskan kesejahteraan hidup mereka," katanya.

Pada 27 Oktober lalu, Hamzah memberitahu UNHCR supaya jangan campur tangan dalam hal ehwal Malaysia berikutan gesaan oleh Human Rights Watch yang berpangkalan di New York supaya kerajaan menghentikan penghantaran pulang pemohon suaka politik kerana ia akan membahayakan nyawa mereka.

Beliau berkata warga asing yang ditahan seterusnya dihantar pulang ke negara asal bermakna mereka telah melanggar undang-undang Malaysia.

"Bukan hanya Myanmar, bukan hanya datang dari sesuatu negara tetapi seluruh dunia yang datang sini melanggar undang-undang ada kesalahan dan sudah sampai tempoh untuk kita hantar balik, kita hantar balik.

"Jadi UNHCR, United Nations (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) atau mana-mana sekalipun kalau orang yang kita tangkap itu masuk ikut cara sah dan mempunyai dokumen, kemudian melanggar undang-undang dan dihukum, kita akan hantar balik,” katanya.

Beliau juga berkata "dari segi kemanusiaan", kerajaan tidak akan menghantar balik orang yang mungkin "hilang" di negara asal mereka.

“Kita tidak akan melakukan perkara yang boleh menyebabkan kezaliman terhadap individu yang dihantar pulang," katanya.

Bagaimanapun, Zaid berkata tidak ada bukti sebarang proses semakan dibuat bagi memastikan pencari suaka dan pelarian tidak dihantar pulang ke negara asal mereka.

“Malah, tindakan yang dijalankan sebelum ini menunjukkan bahawa tidak ada sistem sedemikian, seperti yang dibuktikan dalam pengusiran beramai-ramai lebih 1,000 warga Myanmar pulang ke negara mereka walaupun rampasan kuasa masih berlaku pada masa itu meletakkan mereka dalam keadaan yang sangat bahaya,” katanya.
 
Tambahnya, kerajaan terikat dengan undang-undang antarabangsa melalui prinsip “non-refoulement” bagi memastikan pencari suaka tidak dihantar pulang sekiranya terdapat risiko penganiayaan atau layanan tidak berperikemanusiaan.

“Kerajaan harus beri perhatian jika badan-badan seperti UNHCR membangkitkan kebimbangan sedemikian kerana ia sebenarnya demi kepentingan negara kita supaya tidak melanggar undang-undang antarabangsa yang boleh membawa kesan buruk kepada kita sendiri,” katanya.