- Iklan -
Berita

Apa Undi 18 mahu pada PRU15?

Pengundi yang akan membuang undi buat kali pertama bulan depan berkongsi pandangan mereka tentang wakil rakyat yang ideal dan kriteria yang mereka cari daripada seorang pemimpin.

Azzman Abdul Jamal & Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Undi 18 beratur menunggu giliran mengundi bagi kali pertama pada Pilihan Raya Negeri Johor Mac lalu.
Undi 18 beratur menunggu giliran mengundi bagi kali pertama pada Pilihan Raya Negeri Johor Mac lalu.

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan berlangsung pada 19 November depan dijangka akan memberi gambaran yang lebih jelas mengenai kesan penyertaan kelompok pengundi berusia 18 hingga 21 tahun (Undi 18).

Meskipun Undi18 dan pendaftaran mengundi secara automatik diwartakan sejak 15 Disember 2021, masih juga ada yang tertanya-tanya sama ada kelompok ini betul-betul faham mengenai dunia politik negara dan bersedia untuk keluar mengundi.

Terdahulu, data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan seramai 21,173,658 pengundi berdaftar untuk PRU15 dan 6.58% atau hampir 1.4 juta daripada jumlah itu merupakan kelompok pengundi berusia 18 hingga 21 tahun.

Walaupun jumlah itu tidaklah begitu signifikan jika dibandingkan dengan kelompok usia 30 hingga 39 tahun yang meliputi 22.11% atau hampir 4.7 juta pengundi, golongan Undi 18 terus menarik perhatian ramai disebabkan corak pengundian mereka.

Sebelum ini, ramai penganalisis menjangkakan corak pengundian golongan ini sukar diramal memandangkan mereka tidak ada "kesetiaan" terhadap parti politik berbanding golongan yang lebih tua.

Tinjauan MalaysiaNow sekitar Lembah Klang untuk menemu bual beberapa pengundi daripada kelompok usia 18 hingga 20 tahun mendapati, kebanyakan daripada mereka sememangnya sudah bersedia untuk mengundi.

Mereka berkata, media sosial menjadi antara platform utama untuk mengetahui perkembangan terkini mengenai dunia politik dan mereka akui semakin minat dengan topik politik terutama sejak tempoh dua tahun lalu.

Malah, mereka turut berkongsikan antara kriteria calon wakil rakyat atau pemimpin yang dianggap ideal.

Bagi R Sivaharriharann, 19, yang bakal mengundi di Parlimen Tampin, wakil rakyat yang sering melompat kawasan tidak akan menjadi pilihannya.

Pelajar universiti swasta itu berkata, individu yang layak digelar sebagai wakil rakyat perlu mengetahui masalah yang sedang dihadapi kawasan yang diwakilinya supaya dapat membawa isu tersebut ke peringkat Dewan Rakyat.

"Jika selalu tukar kawasan, bagaimana dia nak wakilkan suara rakyat?" soalnya ketika ditemui MalaysiaNow.

"Lebih baik undi anak jati kerana individu ini akan tahu suasana sebenar masyarakat setempat."

Sementara itu, Azri Syahmi Azhar, 19, pengundi Parlimen Bangi, tidak kisah mengenai sikap wakil rakyat yang suka lompat kawasan memandangkan langkah itu dilihat sebagai strategi yang ditetapkan parti politik.

Katanya, ini kerana tanggungjawab ahli Parlimen ialah merangka dasar dan kawasan yang diwakilinya mempunyai jawatankuasa untuk mendengar luahan rakyat dan mengambil tindakan yang sewajarnya.

"Saya tidak akan mengundi berdasarkan parti sebaliknya akan menilai calon yang dianggap berkaliber dan layak mewakili suara komuniti," katanya.

Berkongsikan mengenai ciri-ciri seorang pemimpin yang ideal, Muhammad Nur Aswad Jamel, 19, berharap parti politik akan lebih terbuka untuk kemukakan lebih banyak "muka baru" terutama dari kalangan golongan muda yang mempunyai pendidikan tinggi.

Selain itu, katanya, kriteria utama untuk memilih seorang pemimpin juga bergantung kepada kebolehan individu itu untuk menunaikan janji yang ditabur sebelum pilihan raya.

"Saya juga tidak berkenan dengan pemimpin yang sering tubuhkan parti baru.

"Sepatutnya mereka harus membuat pembersihan sebagai bukti menunjukkan inisiatif untuk membuat perubahan demi kebaikan rakyat," kata pengundi kerusi Parlimen Tangga Batu di Melaka itu.

Tambahnya, seorang pemimpin terutamanya individu yang dicalonkan sebagai perdana menteri perlu mempunyai integriti serta berkarisma tinggi dan tidak terpalit dengan isu rasuah.