- Iklan -
Berita

Penduduk kampung Melayu Tambun mahu pendidikan dimartabatkan selepas PRU15

Mereka berkata hanya dengan pendidikan sahaja, golongan belia berpeluang untuk menaik taraf kehidupan mereka menjadi lebih baik.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Abdul Hamid dan rakan-rakannya di luar bilik operasi pilihan raya di Manjoi, Ipoh, Perak.
Abdul Hamid dan rakan-rakannya di luar bilik operasi pilihan raya di Manjoi, Ipoh, Perak.

Di sebalik lorong-lorong rumah di Gugusan Manjoi pinggir bandar Ipoh, Perak, wujud beberapa buah sekolah pondok moden yang mengajar pendidikan Islam sejak beberapa tahun lalu. 

Pusat-pusat pengajian agama dalam lingkungan kampung Melayu terbesar itu amat dikenali dan mendapat sambutan hangat daripada orang-orang luar negeri Perak. 

Terutamanya mereka yang berada di usia pertengahan dan warga emas yang mahu menuntut ilmu agama dengan tawaran tempat tinggal yang tenang dan jauh daripada kesibukan kota. 

Bagaimanapun, para penduduk di Gugusan Manjoi memberitahu MalaysiaNow, mereka tidak dapat menikmati manfaat daripada sistem pendidikan tersebut meskipun kampung itu amat dikenali dengan pusat pondok terkemuka. 

"Jujur saya cakap, sekolah-sekolah (pondok) itu bukan untuk mereka yang B40. Kami di kampung tak mampu nak bayar mahal. Jadi, tak popular dalam kalangan penduduk sini. 

"Sebab itu kami usahakan sendiri kelas mengaji al-Quran sesama komuniti secara percuma atau bayaran ikhlas," kata Abdul Hamid, seorang penduduk kampung itu kepada MalaysiaNow. 

Terdapat kira-kira enam masjid di seluruh kawasan Gugusan Manjoi. 

Bagaimanapun, Hamid tidak menafikan sumbangan penubuhan pusat pondok moden itu banyak membantu sosio ekonomi penduduk. 

Ini termasuk harga pasaran tanah di Gugusan Manjoi yang tinggi dalam tempoh yang cepat selain jadi tumpuan kunjungan pelawat dari pelbagai pelosok negeri.  

Pendidikan golongan belia 

Dalam pada itu, menurut Hamid, penduduk kampung-kampung di situ amat prihatin terhadap isu pendidikan dan perkembangan akademik pelajar setempat.  

Katanya, rata-rata keluarga di sana memiliki latar belakang ekonomi kelas pertengahan dan kebanyakannya memiliki ramai anak. 

Ini menyebabkan peluang untuk keluarga menyediakan kualiti pendidikan yang eksklusif adalah terhad. 

Selain itu, katanya, keluarga di situ sering diuji dengan isu kekeluargaan seperi perceraian dan konflik dalaman menyebabkan segelintir anak-anak terjebak dengan kesalahan tingkah laku dan jenayah dadah. 

"Puncanya, kurang pendidikan. Sebab itu kami di sini mahu fokuskan kepada isu pendidikan.

"Sebab apa? Bila pendidikan ada dalam diri. Tingkah laku juga berbeza," katanya dan menambah beberapa wakil penduduk dalam proses melancarkan kelas tuisyen rakyat untuk subjek Matematik dan bahasa Inggeris pada bulan depan. 

Melalui program itu, beberapa orang guru akan diupah untuk mengajar subjek berkenaan selama beberapa kali sebulan.

MalaysiaNow difahamkan sebanyak empat buah sekolah rendah dan menengah di Gugusan Manjoi untuk menampung keperluan pendidikan populasi penduduk di situ. 

Menurut Hamid lagi, penduduk Gugusan Manjoi merasakan penguasaan bahasa Inggeris dan Matematik sebagai elemen penting untuk menaik taraf pendidikan dan seterusnya kualiti kehidupan generasi akan datang. 

"Akademik penting. Mereka (pelajar) tak perlu fikir duit. Sebab mereka memang ada masalah duit. Biar kami yang fikir." 

Sehubungan itu, katanya, kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan bermula tidak lama lagi akan digunakan sebaiknya untuk mendapatkan bantuan dana dan sokongan moral kepada inisiatif tersebut. 

"Sesiapa pun yang menang, kita harap mereka akan salurkan sumbangan untuk projek ini. 

"Kita tidak mahu lihat lagi anak-anak yang jadi mangsa perpisahan keluarga dihantar ke rumah anak-anak yatim. 

"Ataupun mereka yang menjadi mangsa keadaan terlibat pula kes curi atau kes dadah. 

“Pendidikan sahaja peluang untuk naik taraf kehidupan anak-anak di sini."