- Iklan -
Berita

SK Ukay Sungai Sering berkapasiti 1,000 pelajar dijangka siap 2025, kata menteri

Menteri Pendidikan Radzi Jidin berkata projek sekolah itu diluluskan pada Rancangan Malaysia Ke-10.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Pendidikan Radzi Jidin (tengah) beramah mesra bersama murid-murid yang menerima sijil perakuan karya cerpen penulis cilik Semanis Jala Mas pada Majlis Pelancaran Bengkel Penulisan Cerpen dan Penerbitan Antologi Cerpen Penulis Cilik Peringkat Kebangsaan di Putrajaya pada 29 Oktober. Gambar: Bernama
Menteri Pendidikan Radzi Jidin (tengah) beramah mesra bersama murid-murid yang menerima sijil perakuan karya cerpen penulis cilik Semanis Jala Mas pada Majlis Pelancaran Bengkel Penulisan Cerpen dan Penerbitan Antologi Cerpen Penulis Cilik Peringkat Kebangsaan di Putrajaya pada 29 Oktober. Gambar: Bernama

Pembinaan Sekolah Kebangsaan (SK) Ukay Sungai Sering, Bukit Antarabangsa di Gombak, dijangka siap sepenuhnya penghujung 2025, kata Menteri Pendidikan Radzi Jidin.

Beliau berkata projek sekolah yang diluluskan pada Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) itu, mampu memuatkan kira-kira 1,000 pelajar.

“Alhamdulilah urusan berkaitan tanah seluas lima ekar telah selesai, dan kontraktor pula akan mula masuk ke tapak (sekolah) hujung tahun depan, kita jangkakan ia akan siap hujung tahun 2025.

“Sekolah ini akan ada 30 kelas, yang mana setiap satu kelas boleh menempatkan sekurang-kurangnya 35 pelajar dan untuk kosnya buat masa ini kita belum boleh maklumkan lagi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Bicara Transformasi Pendidikan Bersama-sama Komuniti di Dewan Ukay Perdana semalam.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali yang juga ahli Parlimen Gombak.

Radzi berkata pembinaan sekolah baru itu, bagi jangkaan kepada kepadatan penduduk setempat pada masa akan datang.

“Kami di KPM (Kementerian Pendidikan) menyedari terdapat keperluan untuk menyiapkan segera sekolah tersebut berikutan kesukaran ibu bapa di kawasan ini  untuk menghantar anak ke sekolah sedia ada kerana kedudukan agak jauh dan perlu melintasi lebuh raya.

"Dan sekolah sedia ada di sekeliling kawasan ini  juga yang hampir memenuhi kapasiti optimum, kita harap apabila sekolah Sungai Sering (SK Ukay Sungai Sering) ini siap, ia akan dapat memberi penempatan kepada pelajar baru, selain memberi kemudahan kepada masyarakat setempat dari segi penyediaan infrastuktur sekolah di kawasan ini," katanya.