- Iklan -
Berita

Annuar serah kepada pimpinan Umno soal pencalonannya pada PRU15

Pemimpin veteran Umno itu mengesahkan beliau belum menerima surat atau sebarang jemputan berkaitan majlis pengumuman calon Barisan Nasional yang akan diadakan malam ini.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Penyandang kerusi Parlimen Ketereh Annuar Musa.
Penyandang kerusi Parlimen Ketereh Annuar Musa.

Penyandang kerusi Parlimen Ketereh Annuar Musa menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan kedudukan sama ada beliau akan dicalonkan bagi bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau turut mengesahkan setakat ini belum menerima surat atau sebarang jemputan berkaitan majlis pengumuman calon Barisan Nasional (BN) yang akan diadakan malam ini.

Katanya parti memiliki sistem tersendiri dalam memilih calon, justeru semua pihak diminta tidak membuat sebarang spekulasi dan menyerahkan kepada parti khususnya pucuk pimpinan untuk menentukan serta memilih siapa yang parti fikir patut menerima watikah dan mewakili parti.

"Soal calon macam saya kata bukan benda yang harus kita minta-minta, lobi-lobi. Kalau kita difikirkan oleh pucuk pimpinan atas apa juga asas pertimbangan maka itu kita hanya alat untuk parti memberi watikah dengan logo parti kita masuk. Kalau parti tidak pilih itu bukanlah pengakhiran segalanya. Tetapi itu juga tidak menyekat kita nak bertanding kita boleh juga bertanding, beli borang, bayar deposit… semua orang boleh bertanding.

"Dari sudut kita sebagai ahli parti, bagi saya pendirian saya tidak akan lobi, tidak akan minta, tidak akan merayu. Kita serah bulat-bulat kepada parti dan saya difahamkan malam ini ada surat jemputan majlis pengumuman jadi saya fikir ahli-ahli parti terima sajalah apa yang parti putuskan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Kota Bharu hari ini.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.