- Iklan -
Berita

'Buka mata', anak jati Port Dickson ingatkan pengundi Tambun tentang Anwar

Serik dengan janji manis dan isu yang tak kunjung selesai di Port Dickson, pengundi kini tidak mahu 'pisang berbuah dua kali' selepas diwakili Anwar Ibrahim sejak 2018.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Penunggang motorsikal melalui sebuah bulatan di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Penunggang motorsikal melalui sebuah bulatan di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Pengundi Port Dickson berkata nama dan pengaruh besar tidak bermakna seseorang itu boleh menjadi wakil rakyat yang baik, meluahkan kekecewaan mereka kepada penyandang Parlimennya, Anwar Ibrahim yang disifatkan jarang turun ke kawasan sepanjang sepenggal beliau menjadi wakil rakyat mereka.

Seorang anak jati Port Dickson, Sulaiman Dolah, 58, berkata ahli Parlimen perlu menyantuni rakyat dan melaksanakan janji, selain tidak menyukarkan urusan mereka.

Sulaiman yang turun mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson pada 2018 berkata, Anwar jarang dilihat di kawasan itu.

"Satu penggal dia pegang, perubahan tiada. Bercakap sahaja.

"Kalau turun padang tapi perkembangan tiada pun tidak berguna juga," katanya.

Sulaiman juga berkata Anwar dilihat tidak bersuara untuk rakyat Port Dickson di Parlimen.

Berikutan itu, dia serik dengan janji ahli politik tidak kira dari mana-mana parti.

“Apa yang penting, wakil rakyat perlu bertanggungjawab dan sentiasa memantau perkembangan rakyat,” katanya.

Anwar menggerakkan Langkah Port Dickson yang menyaksikan peletakan jawatan penyandangnya Daniyal Balagopal Abdullah yang menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 dengan tiket PKR, memberi laluan kepada presiden parti itu untuk kembali ke Parlimen.

Anwar memenangi kerusi itu dengan majoriti sebanyak 23,560 undi mengalahkan pesaingnya dari PAS Mohd Nazari Mokhtar yang hanya mendapat 7,456 undi.

Bagaimanapun, pada Pilihan Raya Umum ke-15 November depan, Anwar mengumumkan beliau akan bertanding di Parlimen Tambun.

Lantikan politik PH dan isu lalu lintas

Dalam pada itu, antara isu yang dibangkitkan penduduk tempatan ialah ketua kampung yang merupakan lantikan politik oleh Pakatan Harapan (PH).

"Ketua kampung semua orang dia. Sudah pegang dua penggal tapi apa pun tiada.

"Kalau tiada 'cable', hendak jumpa dia memang susah," katanya yang pernah meminta bantuan apabila kedainya terbakar.

Menurut bancian 2020, Port Dickson mempunyai kira-kira 128,954 penduduk. 69.4% merupakan Bumiputera manakala masyarakat Cina dan India masing-masing membentuk 23.2% dan 6.7% daripada populasi Parlimen itu.

Faktor undi tentera turut memainkan peranan besar di kawasan yang dikenali sebagai “Bandar Tentera Darat “itu.

Seorang lagi penduduk Razali Ishak, 61, yang merupakan penggali kubur, berkata sikap setiap parti dapat dilihat di tanah kubur.

"Ketua kampung sini, ada orang mati pun dia tak datang. Yang datang sini (wakil) Barisan Nasional (BN).

"Wakil PKR kurang datang, hendak kena jemput baru mereka datang," katanya.

Selain itu, katanya, antara isu yang masih terus dihadapi warga Port Dickson adalah kesesakan lalu lintas dan ketiadaan parkir yang secukupnya terutama apabila hujung minggu.

Anwar ke Tambun, KJ masuk Port Dickson?

Razali turut bersetuju dengan Sulaiman, terpulang pada Anwar untuk bertanding di kerusi mana namun kehadiran ahli Parlimen perlu dirasai oleh penduduk.

Bahkan, Razali turut menyatakan secara peribadi, dia mahu Khairy Jamaludin bertanding di kerusi itu.

"Walaupun dia bukan anak jati Negeri Sembilan, tapi orang dah kenal. Dia boleh sampai tiga penggal di Rembau,"

"Di Negeri Sembilan, ahli Dewan Undangan Negeri tak jalan. Menteri besar pula orang tak kenal," katanya.

Sekurang-kurangnya pertembungan lima penjuru dijangka berlaku di kerusi Port Dickson membabitkan BN, PH, Perikatan Nasional dan bebas.

Bagaimanapun, hanya calon utama parti dan gabungan politik diumumkan sementara nama calon sepenuhnya masih belum didedahkan.

Dalam pada itu, Sulaiman yang mengikuti perkembangan politik tempatan meninggalkan nasihat untuk pengundi Tambun.

"Buka-bukalah mata itu, macam mana kawasan ini kena, beringatlah.

“Tidak usahlah berbuah dua kali."