Pakar ekonomi berkata kerajaan dilihat mengambil langkah proaktif bagi melindungi rakyat daripada impak kenaikan harga barang yang melampau, berikutan gangguan rantaian bekalan dunia dan inflasi global.
Muhammad Zharif Luqman Hashim dari Pusat Kajian Buruh Masa Depan, berkata pelbagai strategi digunakan oleh kerajaan bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup selain menjamin sekuriti makanan dan daya tahan negara.
"Pihak kerajaan telah merangka strategi jangka masa pendek antaranya ialah menyediakan pemberian subsidi langsung kepada pengeluar bagi menstabilkan harga makanan di pasaran serta mengimbangi kos pengeluaran makanan.
"Sebagai contoh, harga ayam runcit di pasaran adalah pada RM9.40 sekilogram manakala harga minyak masak (botol) runcit pula pada RM7.10 sekilogram," katanya.
Selain itu, katanya, pemberian subsidi termasuk bahan api untuk mengawal inflasi susulan trend peningkatan harga minyak mentah turut dikekalkan.
Harga minyak mentah meningkat daripada AS$84.1 setong pada Januari 2022 hingga mencecah AS$114.7 setong pada Jun lalu. Jangkaan subsidi yang diperuntukkan oleh kerajaan mencecah RM80 bilion bagi tahun ini.
Kenaikan harga makanan dan minuman dalam Indeks Harga Pengguna dilaporkan mengatasi harga keseluruhan barangan dalam ekonomi. Ia memberi kesan kepada isi rumah yang memperuntukkan 29.5% perbelanjaan untuk makanan dan minuman.
"Jika subsidi bahan api dikurangkan, ini akan meningkatkan harga bahan api dan peningkatan harga bahan api ini akan memberi impak berganda kepada inflasi makanan dan keseluruhan barangan," tambahnya.
Malaysia mengimport kira-kira RM50 bilion makanan dan bahan mentah dari negara luar.
Susulan pandemik Covid-19, faktor cuaca dan perang di Ukraine, rantaian bekalan ini terganggu sehingga mengakibatkan peningkatan harga. India contohnya, menghadkan eksport gandum kerana faktor cuaca.
Sebelum ini, perdana menteri Ismail Sabri Yaakob menghapuskan sistem permit import yang memberi peluang kepada ramai pembekal untuk mengimport makanan dan bahan mentah, ketika harga ayam mencecah RM10 sekilogram beberapa bulan lepas.
Penghapusan itu, menurut Zharif, menjadikan sektor pertanian dan makanan lebih kompetitif selain mengurangkan kuasa monopoli.
Sekuriti makanan turut diberi tempat dalam Rancangan Malaysia Ke-12 yang mana usul Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara, 2021-2025 dibentangkan.
Dalam pelan itu, sebanyak lima teras, 15 strategi dan 96 inisiatif digariskan dalam mempersiapkan negara berdepan krisis makanan.
Kerajaan turut bekerjasama dengan beberapa negara luar untuk mengatasi masalah ini.
Menurut Zharif, satu rundingan bersama Emiriah Arab Bersatu (UAE) juga turut diadakan untuk menawarkan pelaburan berbalik dalam sektor pertanian bagi membolehkan negara teluk itu menjadi hab makanan di Timur Tengah.
“Malah, Syarikat Baladna dari Qatar telah membuat komitmen pelaburan sejumlah RM4.5 bilion dalam sektor penternakan tenusu yang bakal menjadi pengeluar tenusu terbesar di rantau Asia Tenggara.
"Perjumpaan perdana menteri bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan telah mencapai kata sepakat untuk bekerjasama bagi memastikan rantaian bekalan makanan sentiasa mencukupi dan stabil," katanya.