- Iklan -
Berita

Malaysia terima pelaburan asing tertinggi disebabkan dasar PN, kata Azmin

Menteri perdagangan antarabangsa dan industri berkata pelaburan syarikat besar dalam negara membuka peluang kerja berpendapatan tinggi kepada orang muda.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan dari udara pusat bandar Kuala Lumpur.
Pemandangan dari udara pusat bandar Kuala Lumpur.

Malaysia mencatatkan pelaburan tertinggi berjumlah RM309 bilion ketika diterajui bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin meskipun ekonomi global ketika itu masih mencabar akibat pandemik Covid-19, kata Mohamed Azmin Ali. 

Azmin yang juga menteri perdagangan antarabangsa dan industri merujuk kepada pelaburan diluluskan yang tertinggi dalam sejarah pada tahun lalu dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama.

"Apa maksud RM309 bilion ini? 

"Maknanya bila syarikat besar (asing) masuk Malaysia, anak-anak dapat pekerjaan. Bukan buruh kasar. Tapi (kerja) pendapatan tinggi. Bila kilang dibina, pembinaan projek perumahan pula dibesarkan. 

"Makcik Kiah boleh berniaga sebab pekerja nak makan pagi dan malam," katanya ketika berucap pada program Jelajah Prihatin Parlimen Sepang, di Sepang, Selangor malam tadi. 

Menurut Azmin, kejayaan itu bukan disebabkan usaha oleh Umno dan Barisan Nasioan (BN) mahupun Pakatan Harapan (PH) melainkan kerja keras dan inisiatif yang dijalankan oleh pimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika pentadbiran Muhyiddin. 

"Tak mungkin apa yang dituai hari ini kita semai (pada) enam bulan lepas. Betul tak? 

"Tanam taugeh pun lambat apatah lagi nak semai benih-benih ekonomi yang baik dan subur," katanya.

Pada Mac lalu, media melaporkan jumlah pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) pada 2021 melebihi jangkaan iaitu meningkat 83.1% daripada yang direkodkan pada 2020.

Perkembangan itu menjadikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan yang menarik untuk pengembangan perniagaan global dan serantau.

Atas sebab itu, kata Azmin, terdapat kesan gandaan ekonomi domestik yang turut menyaksikan perkembangan ekonomi Malaysia hari ini semakin maju disebabkan kepimpinan kerajaan PN. 

"Hingga Bank Negara minggu lepas umumkan pertumbuhan ekonomi Malaysia pada bulan Jun melonjak 8.9% yang tertinggu dalam rantau ini," katanya. 

Sebelum ini, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata pertumbuhan kukuh luar jangkaan itu juga lebih kukuh berbanding 5.0% yang dicatatkan pada suku pertama 2022, sekali gus menjadikan pertumbuhan pada separuh pertama 2022 sebanyak 6.9%. 

Katanya, pertumbuhan yang lebih tinggi juga mencerminkan kegiatan ekonomi yang kembali normal apabila negara beralih ke fasa endemik dan sempadan antarabangsa dibuka semula.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi