- Iklan -
Kandungan Berjenama

Kerajaan sasar 500,000 keluarga B40 mampu miliki rumah sendiri

Bajet 2023 menyediakan peruntukan lebih 95 bilion bagi memastikan projek-projek pembinaan rumah mampu milik dibangunkan.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob melihat replika Kepala Batas Youth Centre (KBYC) pada Majlis Perasmian Projek Program Perumahan Rakyat (PPR), Masjid Bandar Putra Bertam di Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob melihat replika Kepala Batas Youth Centre (KBYC) pada Majlis Perasmian Projek Program Perumahan Rakyat (PPR), Masjid Bandar Putra Bertam di Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini. Gambar: Bernama

Kerajaan menyasarkan untuk menyediakan 500,000 unit rumah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) bagi golongan berpendapatan rendah, selari dengan aspirasi "Satu Keluarga Satu Rumah” yang menjadi inisiatif utama dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12). 

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata pembinaan PPR itu bertujuan supaya golongan yang kurang berkemampuan atau B40 dapat memiliki rumah sendiri. 

Bagaimanapun, tegas Ismail kejayaan projek itu bergantung kepada situasi politik semasa. 

"Semua perancangan perumahan yang disebut tadi hanya boleh dilaksanakan jika Bajet 2023 yang dibentangkan dapat dibentangkan semula," katanya merujuk kepada pembentangan Bajet 2023 yang dibuat namun tidak dapat dibahas dan diluluskan berikutan pembubaran Parlimen bulan lalu. 

Menerusi Bajet 2023, kata Ismail, kerajaan menyediakan peruntukan pembangunan sebanyak RM95 bilion bagi memastikan pelaksanaan Skim Perumahan di seluruh negara bagi golongan itu terus diberi perhatian.

Ini termasuk pembinaan PPR untuk manfaat 12,400 penghuni baru dengan peruntukan sebanyak RM367 juta dan Program Rumah Mesra Rakyat melibatkan pembinaan 4,250 unit rumah dengan peruntukan sebanyak RM358 juta. 

Dalam pada itu, Ismail turut mengumumkan projek bernilai RM113 juta, melibatkan pembinaan kira-kira 700 unit rumah pangsa empat tingkat berserta kemudahan asas, akan dilaksanakan di atas tanah seluas 20 ekar milik Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) di Seberang Perai Utama. 

Beliau mengumumkan projek itu ketika hadir ke Majlis Pelancaran Pecah Tanah Projek PPR Kepala Batas di Masjid Bandar Putra Bertam, Pulau Pinang hari ini. 

"Projek PPR Kepala Batas turut menyediakan tujuh unit rumah untuk memenuhi keperluan Orang Kurang Upaya (OKU). 

"Kos pembinaan seunit rumah adalah RM161,000 dan akan dijual pada harga RM45,000 seunit," katanya. 

Jelas Ismail, kerajaan menyalurkan subsidi sebanyak RM116,000 bagi pembinaan seunit merubah menjadikan jumlah keseluruhan subsidi yang ditanggung kerajaan adalah RM81.2 juta. 

Melalui pelan pengisian PPR di bawah seliaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), sebanyak 156 projek pembinaan siap dibina meliputi 98,196 untuk rumah dengan 88.37% atau 86,774 unit sudah dihuni. 

Manakala projek PPR di bawah Program Perumahan Penjawat Awam (PPAM) seluruh negara meliputi 266 projek atau 54,324 unit rumah dengan 179 projek selesai dibina. 

Jumlah itu merangkumi 26,905 unit rumah dengan 25,212 atau 93.71% sudah berjaya dijual.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi
- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.