- Iklan -
Berita

Bank Negara naikkan OPR kepada 2.75%

Pengumuman hari ini adalah kenaikan kadar dasar semalaman buat kali keempat tahun ini.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan bangunan Bank Negara Malaysia di Kuala Lumpur. Gambar: Reuters
Pemandangan bangunan Bank Negara Malaysia di Kuala Lumpur. Gambar: Reuters

Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75%, di mana ia merupakan kenaikan kali keempat tahun ini.

OPR diturunkan daripada 3% kepada 1.75% semasa negara berada di kemuncak pandemik Covid-19.

BNM kemudiannya meningkatkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2% pada Mei, dan sekali lagi mengumumkan kenaikannya kepada 2.25% pada Julai.

Pada 8 September, BNM meningkatkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.5%.

Pada mesyuarat terakhirnya untuk tahun ini, BNM berkata kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 3.00% dan 2.50%.

Ia berkata pelarasan ini juga akan menguruskan secara lebih awal berhubung dengan risiko tekanan permintaan terhadap harga yang berlebihan dan selaras dengan penyesuaian semula penetapan dasar monetari yang mengimbangi risiko terhadap inflasi dan pertumbuhan dalam negeri yang mampan.

"Pada kadar OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi.

“Jawatankuasa dasar monetari (MPC) tidak membuat sebarang ketetapan awal dan akan terus menilai keadaan yang berubah-ubah serta kesannya terhadap prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negeri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut BNM, sebarang pelarasan pada penetapan dasar monetari pada masa hadapan akan terus dilaksanakan secara terkawal dan beransur-ansur bagi memastikan dasar monetari kekal akomodatif untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam persekitaran harga yang stabil.

Katanya, penunjuk terkini ekonomi Malaysia menunjukkan bahawa kegiatan ekonomi terus bertambah kukuh pada suku ketiga tahun 2022, didorong terutamanya oleh permintaan dalam negeri yang teguh.

"Pada masa hadapan, permintaan dalam negeri akan terus menjadi pendorong utama pertumbuhan meskipun persekitaran global mencabar. Perbelanjaan isi rumah akan terus disokong oleh keadaan pasaran pekerja dan prospek pendapatan yang bertambah baik," tambah BNM.

Pada masa yang sama, ketibaan pelancong telah meningkat susulan pembukaan semula sempadan antarabangsa dan akan mengukuhkan lagi sektor berkaitan pelancongan manakala aktiviti dan prospek pelaburan akan disokong oleh pelaksanaan projek berbilang tahun.

"Walau bagaimanapun, permintaan luaran dijangka sederhana berikutan pertumbuhan global yang semakin perlahan.

"Meskipun terdapat episod volatiliti yang ketara dalam pasaran kewangan global dan pertukaran asing, perkembangan ini dijangka tidak akan menjejaskan pertumbuhan Malaysia," kata BNM.

Kata bank pusat itu keadaan mudah tunai domestik terus mencukupi, dengan pasaran kewangan dan pasaran pertukaran asing terus berfungsi dengan teratur manakala institusi kewangan juga terus beroperasi dengan penampan modal dan mudah tunai yang kukuh.

Sementara itu, bank pusat berkata  inflasi keseluruhan mungkin berada pada tahap tertinggi pada suku ketiga 2022 dan dijangka menjadi sederhana, meskipun kekal pada tahap tinggi selaras dengan penilaian sebelum ini.

Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, diunjurkan untuk berpurata lebih hampir kepada tahap tinggi dalam julat unjuran 2.0% hingga 3.0% pada tahun 2022, setelah berpurata 2.7% sejak awal tahun sehingga kini, berikutan wujudnya sedikit tekanan yang didorong permintaan dalam keadaan kos yang tinggi.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.