- Iklan -
Berita

Calon DAP Young Syefura berdepan cabaran sukar di Bentong

Penduduk tempatan menyatakan hasrat untuk kembali mengangkat Liow Tiong Lai dari BN sebagai wakil rakyat.

Teoh Yee Shen
3 minit bacaan
Kongsi
Penunggang motorsikal melalui papan tanda besar Bentong di Pahang
Penunggang motorsikal melalui papan tanda besar Bentong di Pahang

Calon baru DAP bagi kerusi Parlimen Bentong mungkin berdepan cabaran sengit pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di mana sebilangan penduduk tempatan mempersoalkan rekod perkhidmatannya bahkan lebih cenderung memilih ahli Parlimen yang menyandang kerusi itu sebelum 2018 dari Barisan Nasional (BN) .

Young Syefura Othman atau lebih dikenali sebagai Rara, diumumkan sebagai calon DAP untuk mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya akan datang, menggantikan aktivis alam sekitar Wong Tack yang menewaskan Liow Tiong Lai dari MCA pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Beliau ialah timbalan ketua Pemuda DAP dan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ketari, yang merupakan salah satu dari empat DUN di bawah Parlimen Bentong, selain DUN Bilut, Sabai dan Pelangai.

Ketika mengumumkan pencalonannya, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook menyifatkan rekod perkhidmatannya di Ketari sebagai satu kelebihan.

“Kami menggalakkan calon yang sudah berkhidmat kawasan itu,” katanya.

"Ini adalah keputusan dengan pertimbangan dan penelitian selama berbulan-bulan."

Bentong-MNow-281022-2

Bagaimanapun, ketika bercakap kepada MalaysiaNow, pemilik kedai roti Flex Tang Chin Choy berkata dia tidak yakin calon DAP itu mempunyai peluang untuk menang.

"Dia datang, berucap, dan pergi," katanya.

Seorang lagi penduduk Bentong Md Zulkifle Md Yunos pula menyifatkan Young Syefura sebagai calon "glamor".

"Ketari kawasan kecil – kawasan Bentong ini besar," katanya.

"Maaf cakap, letak Rara (untuk bertanding di sini) bermakna anda cuba perbodohkan orang ramai."

Pencalonan Young Syefura mendapat bantahan Wong, yang menolak cadangan parti itu supaya sebaliknya, beliau bertanding di Cameron Highlands.

Wong kemudiannya mengumumkan bahawa beliau akan tetap bertanding di Bentong sebagai calon bebas.

Bagaimanapun, peluangnya untuk mempertahankan kerusi itu juga masih samar.

Bentong-MNow-281022-18

Tang berkata pilihan pertamanya ialah Liow, bekas menteri pengangkutan dan kesihatan, yang baru-baru ini mengumumkan hasratnya untuk kembali bertanding di kerusi itu.

“Beliau banyak menyumbang kepada Bentong,” katanya. 

“Hasilnya sudah jadi bukti mengenai sumbangannya (di sini)."

Dalam pada itu, berhubung isu banjir yang melanda negara, beliau berkata Wong tidak membuktikan dirinya dapat menangani isu tersebut.

Seorang penduduk tempatan, M Muniandy turut bersetuju, mengatakan dia tidak pernah menerima bantuan ketika rumahnya dilanda banjir.

"Saya tidak nampak dia," katanya merujuk kepada Wong. 

“Satu sen pun tak ada dia beri.”

Muniandy, yang mengundi BN pada PRU14, berkata beliau akan melakukan perkara yang sama sekali lagi pada PRU15.

Beliau juga berkata sukar untuk Young Syefura menang di Bentong.

"Sukar," katanya. 

"Saya tidak nampak dia di sini. Macam mana saya nak sokong dia?"

Bentong-MNow-281022-11

Namun, seorang pengusaha kedai kopi, Armugam Sinnappan, berkata Wong turun padang untuk membantu penduduk dalam usaha pembersihan pasca banjir.

Armugam turut berkata, Liow, sebagai ahli Parlimen kerajaan, boleh memberi bantuan kepada penduduk dengan lebih banyak lagi.

“Semasa Liow dalam kerajaan, dia dapat bantuan itu,” katanya. 

"Pembangkang, sudah tentu, akan dapat kurang peruntukan."

Dalam pada itu, Zulkifle berkata Liow masih dilihat meneruskan perkhidmatannya kepada masyarakat dengan mengubah suai hospital di situ semasa banjir, walaupun beliau tidak lagi memegang jawatan ahli Parlimen.

Bahkan, Liow menyuarakan kekecewaan terhadap keputusan DAP untuk tidak meletakkan Wong di Bentong kali ini, menyifatkannya sebagai "taktik" parti itu.

“Pembangunan Bentong sudah empat tahun ketinggalan.

"Biar rakyat menilai. Bukan untuk saya menilai tetapi semua orang tahu Wong tidak menjalankan tugasnya sebagai ahli Parlimen,” katanya.

Berhubung Young Syefura sebagai calon Melayu DAP, Muniandy berkata kaum tidak menjadi isu.

Dia berkata kriterianya dalam memilih wakil rakyat ialah sama ada seseorang individu itu boleh bekerja atau tidak.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.