- Iklan -
Berita

GTA pertaruh 121 calon kerusi Parlimen

Dua pelakon, Eizlan Yusof dan Ahmad Idham antara calon yang dipertaruhkan oleh gabungan itu.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Gerakan Tanah Air Dr Mahathir Mohamad ketika acara pengumuman calon gabungan itu untuk Pilihan Raya Umum ke-15 19 November depan.
Pengerusi Gerakan Tanah Air Dr Mahathir Mohamad ketika acara pengumuman calon gabungan itu untuk Pilihan Raya Umum ke-15 19 November depan.

Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) Dr Mahathir Mohamad mengesahkan gabungan itu bakal bertanding di 121 kerusi Parlimen di seluruh negara dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). 

Dr Mahathir berkata setakat ini Pejuang sudah mengumumkan calon untuk bertanding di 59 kerusi Parlimen, Putra (24), Berjasa (8), Iman (5) dan Gagasan Bangsa sebanyak 11 kerusi.

“Walaupun kita telah beri watikah kepada ramai calon yang kita umum tadi, tetapi masih ada beberapa kawasan yang belum kita tentukan calonnya, pada 3 dan 4 November nama-nama itu akan diumum oleh ketua setiausaha GTA.

“Bagi calon Dewan Undangan Negeri (DUN) pula diumum barisan pimpinan tertinggi negeri pada esok,” katanya pada sidang media selepas majlis pengumuman nama calon GTA bagi PRU15 petang semalam.  

Pada majlis pengumuman calon gabungan berkenaan, bekas perdana menteri keempat dan ketujuh itu turut mengumumkan Ketua Setiausaha GTA Marzuki Yahya bakal bertanding di kerusi Parlimen Sungai Petani, Kedah. 

Dr Mahathir yang bakal mempertahankan kerusi Langkawi berkata gelanggang pilihan raya kali ini akan turut menyaksikan tiga selebriti iaitu pengarah filem Ahmad Idham, pelakon Eizlan Yusof dan Azlan Sani Zawawi (Lando) masing-masing bertanding di Parlimen Port Dickson, Sabak Bernam dan Tanjong Karang.

Beliau berkata GTA akan dibarisi calon berintegriti dan bersih daripada sebarang jenayah selain diyakini mampu menjadi pemimpin yang baik buat negara. 

Pada 7 Oktober lepas, Dr Mahathir mengesahkan dua penyandang kerusi Parlimen iaitu anaknya Mukhriz akan mempertahankan kerusi Jerlun manakala kerusi Kubang Pasu akan dipertahankan Amiruddin Hamzah, kedua-duanya di Kedah. 

Beliau turut mengumumkan Ketua Pejuanita Che Asmah Ibrahim akan bertanding di Sepang; Ketua Pejuang Perak Mior Nor Haidir Suhaimi di Tapah; dan Pengerusi Penaja GTA Wilayah Persekutuan Khairuddin Abu Hassan di Titiwangsa.

Sementara itu, dua ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor iaitu Adun Batang Kali Harumaini Omar dan ADUN Jeram Mohd Shaid Rosli, masing-masing bakal bertanding di kerusi Parlimen Hulu Selangor dan Kuala Selangor.