- Iklan -
Berita

KJ nafi tandatangan aku janji dengan kepala surat Umno

Calon di Parlimen Sungai Buloh itu sebaliknya berkata hanya menandatangani surat menyatakan kesetiaan kepada Barisan Nasional.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Calon Barisan Nasional di Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin di acara pengumuman calon gabungan itu pada 1 November. Gambar: Bernama
Calon Barisan Nasional di Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin di acara pengumuman calon gabungan itu pada 1 November. Gambar: Bernama

Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Sungai Buloh Khairy Jamaluddin berkata beliau ada menandatangani surat dengan kepala surat (letterhead) BN selaku calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), dan bukannya sebarang surat aku janji dengan kepala surat Umno seperti yang tular sejak beberapa hari lepas.

Beliau berkata surat yang ditandatanganinya itu antara lain menyentuh mengenai kesetiaan kepada BN dan tidak lompat parti.

“Kita sign aku janji yang ada kaitan dengan logo empat parti (di bawah BN) dan kesetiaan kepada parti atas letterhead BN, itu yang saya tandatangan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Pembantu Perawatan Kesihatan peringkat HSB di Sungai Buloh hari ini.

“Tak ada saya tandatangan surat dengan letterhead Umno yang menyatakan aku janji seperti yang ditularkan,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas maklumat yang tular di media tular mengenai surat dengan kepala surat Umno yang memaparkan tandatangan Presidennya Ahmad Zahid dan Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan, yang antara lain menyatakan ikrar calon Umno dan BN yang menang pada PRU15 untuk mencalonkan serta menyokong Zahid sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun Ahmad telah menafikan surat berkenaan, dan menganggap ia sebagai fitnah terhadap BN dan Umno.

Khairy yang juga menteri kesihatan mengulangi pendirian bahawa calon perdana menteri ke-10 adalah Ismail Sabri Yaakob dan tiada sebarang perubahan berkenaan perkara itu.