- Iklan -
Berita

Mat Sabu akui sukar tawan kawasan utara Selangor

Menurut pengerusi Amanah, PH akan menghadapi ujian getir dan memerlukan sumber tenaga dan kewangan untuk membantu calon di kawasan itu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden Amanah Mohamad Sabu bersama pemimpin Pakatan Harapan dalam majlis pelancaran tawaran gabungan itu semalam. Gambar: Bernama
Presiden Amanah Mohamad Sabu bersama pemimpin Pakatan Harapan dalam majlis pelancaran tawaran gabungan itu semalam. Gambar: Bernama

Pakatan Harapan (PH) mengakui berdepan tugas sukar untuk menguasai kawasan Parlimen di bahagian utara Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata PH menyedari taburan kemenangan dan undi diperoleh di kawasan berkenaan tidak seperti bahagian tengah dan selatan negeri itu yang boleh dianggap peti selamat gabungan berkenaan.

"Kita akan hadapi ujian lebih getir di utara Selangor. Oleh itu, kita perlu seimbangkan tenaga, kewangan dan kuasa yang kita ada untuk bantu calon kita di sebelah sana," katanya ketika berucap di Majlis Pengumuman Calon PH di Selangor bagi PRU15 di Shah Alam malam tadi.

Sementara itu, R Ramanan  kekal sebagai calon PH bagi kerusi Parlimen Sungai Buloh selepas diumumkan Pengerusi PH Selangor Amirudin Shari pada majlis tersebut walaupun terdapat ura-ura berlaku perubahan susulan Barisan Nasional (BN) menamakan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin bertanding di kawasan itu, semalam. 

Media sebelum ini melaporkan, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli akan berbincang dengan Presidennya Anwar Ibrahim bagi mengkaji semula pemilihan calon untuk kerusi Parlimen Sungai Buloh selepas Khairy diumumkan sebagai calon BN di kawasan itu. 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Sabtu ini (5 November) sebagai hari penamaan calon, pengundian awal (15 November) dan hari mengundi pada 19 November.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.