- Iklan -
Berita

Calonkan adik Guan Eng di Tanjong, usaha DAP kukuhkan 'Dinasti Lim'?

Pencalonan adik kepada pengerusi DAP, Lim Hui Ying mencetuskan perbahasan baru mengenai keluarga politik itu.

Teoh Yee Shen
3 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi DAP Lim Guan ENg mengangkat tangan di pentas bersama calon lain termasuk adiknya, Lim Hui Ying (tiga dari kanan) di pelancaran jentera Pakatan Harapan di George Town, Pulau Pinang pada 30 Oktober. Gambar: Bernama
Pengerusi DAP Lim Guan ENg mengangkat tangan di pentas bersama calon lain termasuk adiknya, Lim Hui Ying (tiga dari kanan) di pelancaran jentera Pakatan Harapan di George Town, Pulau Pinang pada 30 Oktober. Gambar: Bernama

Sejak beberapa dekad lalu, gandingan bapa Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng menjadi nama berpengaruh dalam DAP – di mana mereka mendapat gelaran pengasas “Dinasti Lim" yang mewarnai kepimpinan tertinggi parti itu.

Kini, menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), seorang lagi ahli keluarga Lim menjadi tumpuan ramai di mana si adik, Lim Hui Ying, yang merupakan setiausaha DAP Pulau Pinang diletakkan sebagai salah seorang calon parti.

Pengumuman Hui Ying sebagai calon kerusi Parlimen Tanjong di Pulau Pinang, dianggap oleh sesetengah pihak bahawa DAP adalah sebuah parti “anak beranak”.

Bercakap kepada MalaysiaNow, penganalisis politik Tang Ah Chai mengakui ada asasnya dalam pandangan sedemikian.

Katanya, dalam DAP, peranan setiausaha agung mengatasi pengerusi parti di peringkat kebangsaan.

Walaupun Guan Eng memegang jawatan tertinggi sejak 2004, beliau kini digantikan oleh Anthony Loke Siew Fook pada Mac lalu, selepas mencapai had maksimum tiga penggal memegang jawatan.

Bekas setiausaha agung itu kemudiannya dilantik sebagai pengerusi parti ketika bapanya, Kit Siang, mengumumkan persaraan daripada politik.

Dalam konteks PRU15, Tang berkata, sekiranya Pakatan Harapan (PH) gagal menawan Putrajaya, parti itu masih lagi mempunyai pengaruh Guan Eng.

“Ketika pengaruh keluarga itu sedikit demi sedikit berkurangan, ia menimbulkan kebimbangan dan sebagai langkah berjaga-jaga, Hui Ying dicalonkan," katanya.

Hui Ying, 59, dilantik sebagai senator pada 2018. 

Beliau bakal memainkan peranan untuk mempertahankan kerusi Tanjong yang sebelum ini dimenangi Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, manakala Chow akan bertanding di kerusi Batu Kawan yang disandang oleh Kasthuri Patto.

Berhubung prestasi Loke sejak mengambil alih jawatan tertinggi itu dari Guan Eng, Tang berkata penyandang kerusi Parlimen Seremban itu mendapat pujian dari dalam dan luar parti.

"Dia berbeza dengan Guan Eng," tambahnya. 

“Gayanya mantap dalam menyampaikan ucapan.”

Sementara itu, penganalisis James Chin dari Universiti Tasmania Australia berkata walaupun sikap pilih kasih sememangnya wujud dalam DAP, namun perkara ini berlaku dalam semua parti politik.

"Anda tidak boleh lari daripada perkara ini, ini tabiat semula jadi manusia," tambahnya.

Walaupun sokongan kaum Cina terhadap pembangkang mungkin semakin berkurang, namun katanya, DAP masih “ada peluang” di kawasan yang mempunyai populasi Cina yang yang besar.

"Sangat sukar untuk menumpaskan mereka," katanya. 

"Dengan kata lain, mereka masih akan menang, tetapi mungkin dengan majoriti yang lebih kecil."

'Naratif penguasaan DAP dalam PH’

Sebagai parti komponen yang setia dengan gabungan PH, DAP sering dikaitkan dengan naratif ia menguasai gabungan politik itu.

Pandangan sedemikian sebahagian besarnya dikaitkan dengan hakikat DAP memenangi paling banyak kerusi dalam gabungan itu, dan tiada seorang pun ahli Parlimennya melompat parti ketika Langkah Sheraton digerakkan pada 2020 sehingga menyebabkan kejatuhan kerajaan PH.

Tang berkata DAP mungkin dilihat sebagai faktor yang mempunyai kuasa "mengawal" dalam kepimpinan PH memandangkan rakan komponennya, Amanah, masih baru sementara PKR yang menjadi tonggak PH dilanda perpecahan dalaman.

"Tetapi jika pengaruhnya dilihat mengatasi PKR dan Amanah, DAP tidak akan mampu membuat perubahan besar," tambahnya.

Beliau juga berkata ketiga-tiga parti itu menyatakan dengan jelas sokongan mereka kepada Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri PH.

"Atas dasar ini, mereka mempunyai hubungan yang saling memahami,” katanya.

Tang dan Chin bersetuju bahawa tindakan DAP meletakkan calon Melayu adalah "pilihan yang tepat" dan mungkin membantu parti itu mendapat sokongan daripada masyarakat Melayu.

Bercakap kepada MalaysiaNow, Chin membangkitkan mantera DAP yang mengaku sebagai parti sekular, dan tidak perkauman.

“Anda tidak boleh dakwa parti anda tidak perkauman jika majoriti calon dan penyokong anda hanya terdiri daripada satu kaum,” katanya.

Sebagai contoh, katanya, di Bentong, DAP meletakkan penyandang kerusi DUN Ketari Young Syefura Othman, menggantikan aktivis alam sekitar Wong Tack.

"Beliau dilihat sebagai seorang yang rapat dengan rakyat, dan saya tidak nampak sebab mengapa DAP tidak patut promosikan pemimpin seperti ini,” kata Chin.

Sementara itu, Tang berkata beliau menjangkakan akan berlaku peningkatan sokongan terhadap Young Syefura di Bentong.

"Prestasi Wong di Bentong tidak cemerlang," katanya. 

“Dari sudut strategi, (calonkan Young Syefura) adalah langkah yang tepat.”

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.