- Iklan -
Kandungan Berjenama

Peniaga kecil sambut baik cadangan MPN lanjut moratorium

Peniaga berkata ia memberi mereka peluang menaik taraf perniagaan.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Peniaga melayan pelanggan di gerai mereka di Jalan Tasik Permaisuri, Cheras.
Peniaga melayan pelanggan di gerai mereka di Jalan Tasik Permaisuri, Cheras.

Pelanggan yang ramai ketika waktu tengah hari di kawasan penjaja sekitar Stadium Kuala Lumpur, Cheras membuatkan peniaga tidak menang tangan untuk melayan, malahan kehadiran mereka menjangkaui waktu rehat yang ditetapkan.

Ketika ditemu bual, seorang peniaga buah-buahan, Juniadi Sudirman berkata dia tidak kisah melayan pelanggan yang ramai kerana begitulah keadaan perniagaannya sebelum negara terjejas akibat pandemik. 

Katanya, jika dibandingkan perniagaannya sebelum dan semasa pandemik, pendapatannya mengalami perubahan drastik sehingga pernah berkurangan sebanyak kira-kira 50% akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di seluruh negara bagi membendung penularan wabak itu. 

Namun, selepas kerajaan mengumumkan negara beralih ke fasa pemulihan di mana lebih banyak sektor dan Industri dibenarkan kembali beroperasi, Juniandi berkata dirinya boleh menghembus nafas lega. 

Walaupun demikian, perkembangan perniagaannya masih perlahan walaupun keadaan pandemik di seluruh negara dilihat sudah terkawal. 

Juniandi merupakan antara puluhan ribu peniaga dalam sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Malaysia yang terkesan akibat pandemik sejak dua tahun lalu. 

Malaysia menjalani beberapa peringkat PKP untuk membendung penularan Covid-19 sejak negara dilanda pandemik pada awal 2020.

Sekatan pergerakan tersebut menyebabkan operasi perniagaan ditutup sementara pekerja diarahkan untuk bekerja dari rumah manakala hanya beberapa sektor utama sahaja yang kekal beroperasi.

Namun, langkah PKP akhirnya dimansuhkan pada Oktober tahun lalu dan peralihan negara ke fasa endemik diumumkan sejak April lalu.

Bagaimanapun, berbanding Juniandi, situasi berbeza dirasakan oleh Siti Alia yang menjalankan perniagaan nasi ayam. 

Dia mendapati selepas PKP dimansuhkan, pendapatan perniagaannya semakin menurun.

"Masa PKP tak menang tangan nak uruskan semua pesanan yang masuk sebab pelanggan tak boleh keluar makan di luar. 

"Sekarang mereka dah boleh keluar makan di restoran. Jarang ada pembeli, katanya kepada MalaysiaNow. 

Sebelum ini, isu aliran tunai pengusaha PMKS sering menjadi tumpuan dalam siri mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) kerana ianya mampu menjejaskan dan merencatkan proses pemulihan negara.

Sebelum ini, dilaporkan lebih 30,000 usahawan dan peniaga PMKS gulung tikar akibat pandemik Covid-19. 

Disebabkan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat MPN Sulaiman Mahbob mencadangkan supaya kerajaan dan Bank Negara mempertimbangkan lanjutan pemberian moratorium kepada pengusaha PMKS.

Ini bagi memastikan mereka yang terlibat dengan sektor itu lebih berdaya tahan untuk menghadapi kejutan masa depan serta meningkatkan sumbangan sektor berkenaan kepada ekonomi negara. 

Ketika ditanya mengenai cadangan tersebut, Juniandi menyatakan rasa gembira. 

"Bagus juga kalau dilaksanakan moratorium itu kerana saya boleh manfaatkan wang yang ada untuk tambah barangan jualan dan kembangkan lagi perniagaan ke peringkat seterusnya. 

"Sebelum ni saya jual di pasar malam tapi disebabkan pandemik saya cuma mampu jaja tepi jalan.

"Saya boleh gunakan untuk upah pekerja juga sewaktu tempoh moratorium itu." 

Jelasnya, dia juga salah seorang daripada usahawan PKMS yang menerima Geran Khas Prihatin sewaktu PKP di bawah pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN). 

Katanya, bantuan itu berjaya menyelamatkan perniagaannya daripada ditutup ketika rakan-rakan lain gulung tikar. 

Alia turut bersetuju dan menyambut baik cadangan tersebut, mengatakan dia boleh mengambil peluang menaik taraf perniagaannya dengan berpindah ke tempat yang lebih selesa. 

"Saya boleh gunakan bayaran bulanan pinjaman saya untuk jadikan modal beli kiosk kecil atau ‘food truck’ dan kembangkan lagi makanan yang boleh saya jual. 

"Duit sekarang memang cukup-cukup untuk saya upah ahli keluarga sahaja dan bukan pekerja luar. 

"Moratorium untuk peniaga PMKS macam kami boleh bantu banyak segi terutamanya hal modal berniaga." 

Sebelum ini, MPN komited mengemukakan pelbagai inisiatif bagi membantu memulihkan kembali ekonomi dan pendapatan usahawan tempatan.

Ini termasuklah cadangan utama MPN kepada kerajaan yang menggesa tumpuan diberikan bagi menangani isu kekurangan pekerja di sektor kritikal seperti pembinaan, perladangan dan pelancongan.