Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir di kebanyakan tempat di semenanjung, Sabah dan Sarawak selama tiga hari bermula hari ini iaitu hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
MetMalaysia menerusi kenyataan hari ini memaklumkan petang ini dijangka berlaku ribut petir di Negeri Sembilan, Johor, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka dan beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak.
Hujan diramal malam ini di Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Johor, Sarawak (Mukah, Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang) dan Pantai Barat, Sabah.
Selain itu, ribut petir dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang serta beberapa tempat di pedalaman Sarawak dan Labuan.
Hujan dijangka esok yang melibatkan Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor serta beberapa lokasi di Sarawak dan Sabah.
Pada petang dan malam Ahad ribut petir diramal di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Johor, Sarawak (Kuching, Serian, Samarahan, Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang) dan Sabah (Pantai Barat, Tawau dan Sandakan).
Pada Isnin (7 November) MetMalaysia menjangka berlakunya hujan pada pagi di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sarawak (Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit dan Bintulu) serta Sabah (Pedalaman, Pantai Barat, Tawau, Sandakan, Kudat dan Labuan).
Pada petang dan malam Isnin diramal ribut petir di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Johor, Sarawak (Kuching, Serian, Samarahan, Kapit, Bintulu, Miri, Limbang) dan Sabah (pedalaman, Pantai Barat, Tawau dan Sandakan).
Sementara itu, Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan paras air di tiga negeri iaitu Pahang, Perlis dan Selangor menunjukkan peningkatan pada paras bahaya iaitu tahap merah.
Di Pahang, paras Sungai Pahang, Pekan berada ketinggian di 21 meter (m) manakala di Sungai Perlis Kangar, Perlis (10.98m) dan Sungai Bernam, Sabak Bernam, Selangor (2.32m).