Presiden PKR Anwar Ibrahim berdepan pertandingan empat penjuru bagi kerusi Parlimen Tambun, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) 19 November ini.
Anwar yang juga calon tunggal Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH), akan ditentang calon Barisan Nasional (BN) Ketua Umno Bahagian Tambun Aminuddin Md Hanafiah, calon Pejuang Abdul Rahim Tahir dan calon Perikatan Nasional (PN) yang juga penyandang kerusi itu Ahmad Faizal Azumu.
Pengumuman empat calon berkenaan dilakukan Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Parlimen Tambun Mohamad Fariz Mohamad Hanip pada 10.35 pagi selepas proses penamaan calon berjalan lancar dan ditutup pada 10 pagi.
Anwar tiba di pusat penamaan calon pukul 8.58 pagi manakala Aminuddin dan Faizal masing-masing sampai pada 8.50 pagi dan 9 pagi, sebelum menyerahkan borang pencalonan di Dewan Sri Kledang Institut Latihan Perindustrian Ipoh Meru hari ini.
Suasana pekarangan pusat penamaan meriah dengan kehadiran lebih 1,000 penyokong calon bertanding sebagai tanda sokongan dengan ada yang membawa sepanduk, bersorak serta mengalunkan selawat sepanjang calon masuk ke pusat penamaan calon.
Perkarangan tersebut turut dikawal ketat polis dengan memasang penghadang untuk mengelakkan berlakunya pertembungan penyokong.
Pada PRU14, kerusi itu dimenangi Faizal atas tiket Pakatan Harapan (PH) yang menggunakan logo PKR, menewaskan calon BN dan PAS sebanyak 38,661 undi dengan majoriti 5,320 undi.