- Iklan -
Berita

Ismail akan pertahan Bera dalam pertandingan 3 penjuru

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob akan bertembung dengan calon PH Abas Awang dan Asmawi Harun dari Perikatan Nasional.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tiba di pusat penamaan calon kerusi Bera hari ini. Gambar: Reuters
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tiba di pusat penamaan calon kerusi Bera hari ini. Gambar: Reuters

Ismail Sabri Yaakob yang sedondon berpakaian biru bersama isterinya Muhaini Zainal Abidin tiba di pusat penamaan calon pada pukul 8.55 pagi, ditemani tiga calon BN bagi DUN di bawah Parlimen Bera serta ratusan penyokong parti yang membawa bendera parti sebagai tanda sokongan. 

Sementara Asmawi Harun dari Perikatan Nasional dan calon Pakatan Harapan Abas Awang bersama calon-calon DUN parti masing-masing dan penyokong mereka tiba di pusat penamaan itu pada pukul 8.30 dan 8.50 pagi.

Pada pilihan raya umum 2018, Ismail yang juga naib presiden Umno menang dalam saingan tiga penjuru dengan memperoleh majoriti 2,311 undi, menewaskan calon PKR Zakaria Abdul Hamid yang mendapat 18,499 undi manakala calon PAS Musaniff Ab Rahman memperoleh 8,096 undi. 

Berdasarkan daftar pemilih sehingga 9 Oktober lepas, seramai 77,669 pemilih layak mengundi di Parlimen Bera pada PRU15, melibatkan 73,860 pengundi biasa, tentera dan pasangan (3,521 pengundi), polis dan pasangan (279 pengundi) manakala pengundi luar negara, sembilan.

Zaman Azam turut mengumumkan pertembungan empat penjuru bagi DUN Guai melibatkan tiga calon wanita iaitu Sabriah Saidin yang mewakili BN, Nor Hashimahi Mat Noh (PN) dan Noraini Abdul Ghani (PH) serta calon Bebas Jafari Mohd Yusof. 

DUN Triang pula menyaksikan penyandang Leong Yu Man daripada PH akan menentang Yee Cheng Hwa (BN) dan Muhammad Izzuddin Zulkifli (PN).

Sementara itu, DUN Kemayan menyaksikan persaingan satu lawan satu melibatkan calon BN Khaizulnizam Mohamad Zuldin dan calon PN Shapuan Hussain, selepas borang pencalonan wakil PH Manolan Mohamad yang juga presiden Persatuan Pembangunan Orang Asli Malaysia (MOADA) ditolak.

Pecahan pengundi di DUN di bawah Parlimen Bera ialah 24,412 pengundi bagi DUN Guai, 25,891 pengundi di DUN Triang dan 27,366 pengundi di DUN Kemayan.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 15 Nov ini sebagai hari pengundian awal dan 19 November ini sebagai hari pengundian.