- Iklan -
Berita

Tak kecewa nama digugurkan, Noh Omar setia dengan Umno

Ketua Umno Selangor itu berkata beliau tidak akan melawan parti yang berjasa kepadanya.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Umno Selangor Noh Omar bersama calon Barisan Nasional bagi kerusi Tanjong Karang, Habibah Mohd Yusof pada sidang media semalam. Gambar: Bernama
Pengerusi Umno Selangor Noh Omar bersama calon Barisan Nasional bagi kerusi Tanjong Karang, Habibah Mohd Yusof pada sidang media semalam. Gambar: Bernama

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar mengesahkan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan akan terus memberi sokongan kepada calon yang dipilih UMNO.

“Saya orang parti, takkanlah parti yang berjasa dengan saya, saya mahu lawan pula,” katanya ketika menjawab soalan media, susulan beliau tidak dinamakan sebagai calon untuk mempertahan kerusi Parlimen Tanjong Karang pada pilihan raya umum kali ini.

Semalam, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam satu kenyataan mengumumkan Ketua Wanita UMNO Tanjong Karang Datuk Habibah Mohd Yusof, dinamakan sebagai calon Barisan Nasional (BN)  bagi kerusi Parlimen Tanjong Karang.

Bercakap kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera BN Parlimen Tanjong Karang di sini hari ini, Noh, yang mempertahankan kerusi itu enam penggal sejak 1995 berkata beliau akan turun berkempen bagi memastikan BN menang di Selangor.

“Saya sebagai pengerusi tentulah nak menang di Selangor. Insya Allah, kita akan cuba yang terbaik,  kalau dalam keadaan tsunami pon Tanjong Karang boleh menang, kali ini dengan keadaan yang lebih baik, saya yakin Tanjong Karang boleh kekalkan kerusi parlimen,” katanya.

“Saya mula-mula menjadi calon pada 1995, saya tidak terfikir mahu menjadi calon, tiba-tiba dapat menjadi calon, siapa sangka? Paling penting keikhlasan dalam perjuangan, jangan sesekali kita bekerja nak kejar jawatan,” katanya yang akan hadir pada penamaan calon di Dewan Dato’ Hormat bagi memberi sokongan esok.

Dalam pada itu, Habibah berkata beliau berterima kasih kepada Noh dan parti, kerana memberi laluan serta peluang kepadanya untuk bertanding pada PRU15.

“Saya anak didik Tan Sri (Noh), saya pernah bekerja dengan Tan Sri, lebih kurang 10 tahun, banyak pengalaman yang saya timba. Saya tidak mahu terlebih konfiden, tetapi saya yakin dan percaya dengan bantuan serta pertolongan serta tunjuk ajar Tan Sri, kita boleh ulangi kegemilangan yang telah dibuat Tan Sri,” katanya.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi
- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.