- Iklan -
Berita

Tak pelik bertembung dengan rakan lama PKR, kata Azmin

Penyandang Gombak itu berkata persaingan mereka adalah adalah bagi mempertahankan mandat rakyat.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Calon Perikatan Nasional Mohamed Azmin Ali (dua kiri) bersama calon Pakatan Harapan Amirudin Shari (tengah) bersama calon lain di pusat penamaan calon di Selangor hari ini.
Calon Perikatan Nasional Mohamed Azmin Ali (dua kiri) bersama calon Pakatan Harapan Amirudin Shari (tengah) bersama calon lain di pusat penamaan calon di Selangor hari ini.

Penyandang kerusi Parlimen Gombak Mohamed Azmin Ali tidak menganggap pertembungan dengan rakan lamanya dari PKR, Amirudin Shari pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sesuatu yang pelik.

Azmin yang juga menteri kanan perdagangan antarabangsa dan industri, menegaskan sekali lagi bahawa persaingannya menentang menteri besar Selangor itu tidak melibatkan soal personaliti atau parti, sebaliknya bagi mempertahankan mandat rakyat.

"Sekiranya parti yang diberikan sokongan oleh rakyat dalam pilihan raya umum lalu gagal melaksanakan janji yang ditaburkan secara mewah, apakah perlu saya pertahankan?" soal Azmin ketika ditemui media selepas sesi Penamaan Calon Parlimen Gombak di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu.

Terdahulu, kerusi Parlimen Gombak akan menyaksikan pertembungan lima penjuru antara Azmin yang mewakili Perikatan Nasional (PN) manakala Amirudin dari Pakatan Harapan (PH) serta tiga lagi calon iaitu Megat Zulkarnain Omardi dari Barisan Nasional (BN), Aziz Jamaludin Mohd Tahir dari (Putra yang menggunakan logo Pejuang) dan calon Bebas, Zulkifli Ahmad.

Pada PRU14, Azmin mempertahankan kerusi Parlimen Gombak selepas meraih 75,113 undi menewaskan calon dari Umno yang memperoleh 26,392 undi manakala PAS sebanyak 17,537 undi.

Mengulas mengenai kegagalan PH mentadbir negara selepas PRU14 pada 2018, Azmin berkata, mandat rakyat yang diberikan kepada kerajaan pada ketika itu ialah membuat pembaharuan dari segi dasar dan inisiatif untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Akan tetapi menurut Azmin apabila PH berkuasa, pelbagai bentuk tekanan kenyataan yang keras dan menyinggung perasaan bukan saja bagi Melayu tetapi juga kaum lain.

"Kalau saya pertahankan PH, itu kira mengkhianati mandat," kata Azmin yang merupakan ketua penerangan PN.

Beliau juga memberi gambaran rakyat kini sudah serik dan menolak PH apabila gabungan itu kalah teruk dengan majoriti lebih 15,000 undi pada Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai pada 2019 yang disifatkan sebagai kawasan kubu kuat DAP.

"Tetapi apabila MCA bertanding situ dengan sokongan PAS ketika DAP cuba memainkan sentimen perkauman bahawa kononnya PAS adalah parti Taliban yang menyokong MCA, MCA tetap menang.

"Menang dengan majoriti 15,000. Ini bermakna rakyat Malaysia menolak PH dan tidak boleh lagi pertahankan PH.

"Maka saya sebagai jemaah menteri yang melihat sendiri penggubalan dasar yang tidak adil kepada rakyat, sudah tentu saya tidak senang," katanya.

Mengulas mengenai PN, Azmin berkata kerajaaan di bawah pimpinan Muhyiddin Yassin berusaha sedaya upaya untuk menangani penularan pandemik Covid-19 dan mempercepatkan proses pemulihan ekonomi.

"Kita juga melaraskan semula dasar ekonomi dan pelaburan bagi memastikan Malaysia terus menarik minat pelabur dan menghasilkan peluang pekerjaan yang berkualiti kepada anak tempatan.

"Ini adalah dasar-dasar yang dapat meyakinkan bahawa PN merupakan platform terbaik untuk menjamin negara supaya lebih makmur dan sejahtera," tambahnya.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi