- Iklan -
Berita

Kos sara hidup tinggi jadi keutamaan pengundi Tambun

Mereka hanya mahukan kerajaan yang boleh beri jaminan mengenai kelangsungan hidup yang lebih baik selain meringankan beban perbelanjaan harian.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Penduduk Tambun berkata mereka bimbang dengan kenaikan kos sara hidup dan kemampuan mereka untuk menyara keluarga.
Penduduk Tambun berkata mereka bimbang dengan kenaikan kos sara hidup dan kemampuan mereka untuk menyara keluarga.

Tidak jauh dari pekan utama Tambun, kelihatan dua sahabat warga emas sibuk menjalankan perniagaan jual beli mercun dan bunga api di tepi jalan. 

Thana dan Seng mengendalikan perniagaan itu sepanjang tahun tanpa mengira musim perayaan. 

Menurut Thana, meskipun usianya makin meningkat dia perlu keluar bekerja untuk menyara keluarga kerana kos sara hidup yang disifatkannya sebagai terlalu menekan. 

Sementara Seng pula menyuarakan kebimbangan terhadap kos sara hidup yang makin tidak menentu. 

"Sekarang gaji lebih RM3000 pun susah hidup di Tambun. Kalau di KL, lagi ‘mati’. Macam mana nak makan? 

"Tepung sudah naik harga, telur pun naik harga. Saya umur sudah 60 lebih pun 12 jam kerja. Tak kerja tak makan," katanya kepada MalaysiaNow sewaktu tinjauan ke daerah itu baru-baru ini. 

Penduduk Tambun, Thana ketika ditemu bual di gerai jualan mercunnya.
Penduduk Tambun, Thana ketika ditemu bual di gerai jualan mercunnya.

Kebimbangan tentang kuasa beli dan cara memenuhi keperluan harian menjadi kebimbangan utama para pengundi di kawasan bandar Tambun. 

Calon perdana menteri Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim disahkan akan bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). 

Beliau dijangka bertembung dengan tiga penjuru dengan penyandang dari Perikatan Nasional (PN) Ahmad Faizal Azumu dan calon Barisan Nasional (BN) yang masih belum diumumkan secara rasmi. 

Bagaimanapun, rata-rata pengundi yang diwawancara enggan bercakap tentang politik.

Mereka hanya mahukan kerajaan yang boleh beri jaminan mengenai kelangsungan hidup yang lebih baik selain meringankan beban belanjawan harian. 

Menurut Seng selain harga makanan yang tinggi, bakal pentadbir di Putrajaya juga perlu memikirkan kos tetap seperti bayaran perumahan, bil utiliti, telefon dan insurans yang menjadi penyumbang utama kepada perbelanjaan bulanan kebanyakan orang bekerja. 

"Tak kisah siapa menang, ini mesti selesai dulu. Kita mahu (kerajaan) yang boleh bagi rakyat senang." 

Sementara itu, seorang belia mesra disapa sebagai Zuleha baru mula bekerja selepas tamat pengajian universiti.  

Dia mengakui tidak begitu cekap dengan selok belok politik semasa.

Bagaimanapun, kata Zuleha, dia tetap mempunyai pendirian tersendiri untuk menilai calon-calon yang bertanding. 

"Saya akan tengok latar belakang agama calon. Mungkin dia seorang yang beragama tetapi apa pula ‘track record’ dia sebelum ini," katanya kepada MalaysiaNow.

Wanita muda Tambun, Zuleha baru sahaja memasuki alam pekerjaan selepas tamat pengajian di universiti.
Wanita muda Tambun, Zuleha baru sahaja memasuki alam pekerjaan selepas tamat pengajian di universiti.

Menurut Zuleha, penelitiannya juga akan memfokuskan kepada latar belakang ahli keluarga calon termasuk hubungan calon dengan orang setempat. 

Katanya, meskipun calon itu boleh jadi

seorang Melayu-Islam tetapi pembuat keputusan melibatkan parti-parti yang tidak seiring dengan kriteria yang dia mahukan, mungkin calon tersebut akan ditolak. 

Bagaimana kedudukan calon? 

Dalam pada itu, seorang penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM) Ahmad Atory Hussain berkata kedudukan ketiga-tiga calon dari PH, BN dan PN sudah boleh diramalkan melalui tinjauan yang dijalankan secara dalam talian. 

Menurut Atory, keputusan Anwar untuk bertanding di Tambun dilihat sebagai selamat memandangkan pengundi Melayu sebanyak 60% dan bukan Melayu sebanyak 40%. 

"Jadi dia boleh ramal dia boleh menang kerana undi Melayu berpecah kepada tiga parti seperti PRU14 lalu. 

"Tetapi PRU15 belum tentu dia menang kerana PAS bersama Bersatu dan GTA melawan BN dan PH," katanya kepada MalaysiaNow. 

Kembali kepada Thana dan Seng, mereka akur akan tanggungjawab untuk mengundi pada 19 November akan datang. 

"Undi tetap undi. Rugi jika tak pergi mengundi." 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.