- Iklan -
Berita

Peneroka Felda, rakyat Sabah dan Sarawak antara tumpuan manifesto PN

PN memperkenalkan Wawasan Felda Baru dalam manifestonya bagi menjamin masa depan lebih baik untuk generasi muda Felda dengan mewujudkan peluang ekonomi, keusahawanan dan naik taraf infrastruktur asas.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Isu berkaitan Sabah dan Sarawak menjadi tumpuan utama manifesto Perikatan Nasional yang diumumkan malam ini.
Isu berkaitan Sabah dan Sarawak menjadi tumpuan utama manifesto Perikatan Nasional yang diumumkan malam ini.

Perikatan Nasional (PN) komited menjaga dan memperkasakan kebajikan peneroka Felda dan rakyat Sabah serta Sarawak dengan menawarkan ruang untuk membina masa depan yang lebih baik sekiranya memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menerusi manifesto yang bertemakan "Prihatin, Bersih, Stabil" PN menawarkan Wawasan Felda Baru bagi menjamin masa depan lebih baik untuk generasi muda di kawasan Felda dengan mewujudkan peluang ekonomi, keusahawanan dan menaik taraf infrastruktur asas. 

Ini termasuklah liputan internet dan rumah mampu milik. 

Sebelum ini, kerajaan PN menyelamatkan Felda dengan melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion melalui pelarasan pinjaman secara bersyarat. 

Menurut Pengerusi PN Muhyiddin Yassin, gabungan itu juga mahu menyelamatkan projek perumahan generasi baru Felda yang terbengkalai pada tahap 70% serta mana-mana projek pembinaan yang dilihat berpotensi untuk dibaiki. 

"Kita akan memulihkan Felda supaya prestasinya setanding dengan syarikat perladangan kelapa sawit berprestasi tinggi bagi menjamin kesejahteraan peneroka," katanya sewaktu membentangkan manifesto PN bagi PRU15 di Shah Alam, Selangor hari ini.

Di bawah Tunjang 11 iaitu Felda Diperhebat, PN turut menjanjikan skim keusahawanan bagi menggalakkan penglibatan usahawan muda dalam aktiviti pertanian bernilai tinggi melalui penggunaan teknologi terkini dan automasi.

Dalam pembentangan manifesto tersebut, PN turut menyenaraikan lebih 50 tawaran utama menerusi 12 tunjang dan 30 pendekatan melalui 234 tawaran. 

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata PN tidak melupakan usaha untuk merapatkan jurang pembangunan antara negeri dan wilayah dengan melaksanakan beberapa inisiatif yang dirangka secara teliti. 

Ini termasuk mengoptimumkan potensi ekonomi setiap negeri dan wilayah juga di luar bandar.

PN juga akan memacu pembangunan inklusif rakyat Sabah dan Sarawak melalui pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963. 

"PN juga akan mengutamakan pengagihan peruntukan pembangunan kepada Sabah dan Sarawak bagu mempercepatkan pembangunan sosioekonomi setempat," katanya. 

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata jika diberi mandat selepas PRU15, PN akan membina universiti awam baru di Sabah dan Sarawak yang menawarkan kursus dalam bidang strategik bagi memenuhi keperluan industri.

"Kita juga akan meningkatkan kecekapan capaian pengangkutan awam yang menghubungkan bandar dan luar bandar (di Sabah dan Sarawak)."