- Iklan -
Berita

PN lancar manifesto, tawar lebih 200 inisiatif ekonomi dan kebajikan rakyat

Manifesto Perikatan Nasional menetapkan hala tuju kerajaan menuju ‘Malaysia Gemilang’ dengan tema ‘Prihatin, Bersih, Stabil’.

Nur Hasliza Mohd Salleh
1 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin berucap pada acara pelancaran manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 malam ini.
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin berucap pada acara pelancaran manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 malam ini.

Perikatan Nasional (PN) hari ini melancarkan manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) yang bertemakan "Prihatin, Bersih, Stabil”, menjanjikan sebuah kerajaan stabil, prihatin dan bebas rasuah demi kemakmuran yang berterusan dan membina masyarakat yang inklusif.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata manifesto itu menetapkan sebanyak 12 tunjang dan 30 pendekatan dengan 234 tawaran yang dirangka bagi mencapai matlamat “Malaysia Gemilang".

"Keseluruhan tawaran Perikatan Nasional ini digubal bagi mempertahankan keluhuran Perlembagaan, menjunjung Islam sebagai agama Persekutuan dan melindungi hak semua kaum," katanya dalam ucapan pelancaran manifesto PN di Shah Alam.

Turut hadir dalam acara itu termasuk Presiden Gerakan Dominic Lau dan Ketua Penerangan PN Mohamed Azmin Ali.

Sebelum ini, Muhyiddin dilaporkan berkata segala yang diperincikan di dalam manifesto gabungan itu adalah amat penting bagi memastikan kesemua tawaran boleh ditunaikan dan dilaksanakan.

Muhyiddin turut menambah sebuah jawatankuasa khas bakal ditubuhkan dengan dianggotai oleh pakar-pakar berkaitan untuk memantau dan memastikan tawaran PN dapat dipenuhi.

"Perikatan Nasional juga berikrar bahawa semua inisiatif Bajet 2023, termasuk bantuan kewangan rakyat dan penjawat awam, akan dikekalkan dan ditambah baik untuk semua lapisan masyarakat," katanya.

Antara 12 tunjang utama dalam manifesto tersebut adalah pembinaan ekonomi yang berdaya saing, peningkatan kualiti hidup rakyat, politik dan pentadbiran yang bersih.

Selain itu, ia turut berikrar untuk memartabatkan Bumiputera, Orang Asli dan semua kaum lain, memacu pembangunan wilayah, memelihara alam sekitar dan menggalakkan pelancongan, memperkasa belia, mengoptimumkan potensi wanita, membina warga emas yang aktif, memperkasakan orang kurang upaya (OKU), memperkasakan peneroka Felda, dan menaik taraf petani, penternak dan nelayan.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi