- Iklan -
Berita

Calon PKR pertahan tidak butirkan simpanan tunai, aset lebih RM60 juta

Ramanan Ramakrishnan tidak mengisi ruangan pecahan aset mengikut kategori termasuk pecahan memiliki RM23 juta tunai.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Borang pengisytiharan harta yang kosong di mana calon PKR Ramanan Ramakrishnan (gambar) sepatutnya mengisi perincian aset-asetnya.
Borang pengisytiharan harta yang kosong di mana calon PKR Ramanan Ramakrishnan (gambar) sepatutnya mengisi perincian aset-asetnya.

Calon Pakatan Harapan (PH) yang bertanding di kerusi Parlimen Sungai Buloh, Ramanan Ramakrishnan hari ini mempertahankan tindakannya untuk tidak meletakkan butiran secara terperinci selepas mengisytiharkan aset berjumlah RM63.5 juta.

Bekas pemimpin MIC yang dipilih menggantikan peguam veteran PKR R Sivarasa itu merasakan tiada sebab untuk meletakkan butiran terperinci mengenai aset-asetnya, dan mengatakan nilai asetnya sudah diketahui umum.

“Saya ingat tiada siapa pun nak tahu berapa cincin saya ada, berapa kasut saya ada, berapa rantai emas saya ada. 

“Itu bukan (apa) yang dia nak tahu,” kata Ramanan ketika ditemui di program ziarah penduduk di Kampung Melayu Subang.

Sebelum ini, dokumen pengisytiharan aset dipaparkan di laman sesawang PKR, menyenaraikan harta yang dimilikinya mengikut kategori termasuk tunai lebih RM23 juta dan barang kemas bernilai RM4 juta.

Beliau juga senaraikan jumlah hartanah yang dimiliki berjumlah RM27 juta, RM8.6 juta bagi kategori kenderaan serta pemilikan saham dan insurans bernilai RM3.5 juta, menjadikan aset bersih dimiliki berjumlah RM63.5 juta selepas menolak RM2.5 juta hutang pinjaman rumah, kereta dan baki kad kredit.

Bagaimanapun, ruangan mengisi pecahan aset yang dimiliki ditinggalkan kosong sebaliknya hanya terdapat garisan hitam yang terus menunjuk ke arah jumlah keseluruhan, menyebabkan jumlah tunai yang dimiliki dalam bank akaun atau Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pengisytiharan aset Ramanan dibuat selepas pengisytiharan aset Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli, yang mana beliau turut berkongsikan saham syarikat yang dikaitkan dengan PKR, Invoke Solutions yang dianggarkan bernilai RM17 juta.

Ramanan juga menolak dakwaan pengisytiharan asetnya kurang telus dan turut mencabar pesaing politiknya mengisytiharkan aset masing-masing.

“Kita bukan tengah buat audit di sini. Tetapi yang lebih penting daripada itu, pihak lawan saya tak nak buat. 

“Tapi tiada orang nak tanya. Bagi saya itu yang kelakar,” katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.