- Iklan -
Berita

Tiada gimik, BN lancar manifesto secara dalam talian

Barisan Nasional lancar manifesto dengan 99 perkara merangkumi pelbagai tawaran dalam sektor pendidikan dan ekonomi.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Sukarelawan di Hulu Terengganu mempersiapkan bendera Barisan Nasional sempena tempoh kempen Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November. Gambar: Bernama
Sukarelawan di Hulu Terengganu mempersiapkan bendera Barisan Nasional sempena tempoh kempen Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November. Gambar: Bernama

Kira-kira empat tahun lalu, Barisan Nasional (BN) melancarkan manifestonya dengan gah, dihadiri ribuan penyokong dan pimpinan gabungan itu di Stadium Axiata Arena di Bukit Jalil, Kuala Lumpur lengkap dengan gimik ketika dipimpin pengerusinya ketika itu, Najib Razak.

Namun kali ini, dengan Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun, Ahmad Zahid Hamidi selaku pengerusi BN membacakan manifesto yang disiarkan hanya di laman Facebook. 

Tiada penonton atau media yang hadir membuat liputan. 

Ia ibarat langit dan bumi apabila dibandingkan dengan pelancaran manifesto oleh Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

Kedua-dua blok itu menganjurkan majlis secara fizikal ketika melancarkan manifesto masing-masing.

Ucapan Zahid lebih “straightforward” tanpa diselangi pantun atau mengkritik pihak lawan seperti pendahulunya sebelum ini. 

Inisiatif BN kali ini tidak tertumpu kepada negeri-negeri, namun menyentuh secara umum beberapa aspek seperti bantuan tunai, pendidikan, dan pekerjaan. 

Kesemuanya berjumlah 99 perkara. 

Dua intipati penting menurut Zahid ialah kestabilan politik dan menguruskan Malaysia untuk lebih makmur, kempen yang diulangi seperti ketika Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor.

Antara intipati utama ialah bantuan pendapatan asas kepada isi rumah dengan pendapatan kurang daripada RM2208, selain menawarkan pendidikan percuma untuk pendidikan awal untuk kanak-kanak enam tahun ke bawah. 

"Ia adalah satu top up atau tambahan pendapatan bulanan bagi memastikan semua isi rumah di seluruh negara mempunyai sekurang-kurangnya RM2,208 sebulan. 

"Namun bagi memastikan tiada lagi isi rumah yang terpaksa hidup di bawah garis kemiskinan. 

“Atau dalam erti kata lain, selepas ini, insiden kemiskinan mutlak hanya akan tinggal sejarah di Malaysia," kata Zahid pada majlis pelancaran manifesto BN malam ini.

BN juga dilihat beralah dengan tekanan setelah beberapa tahun mengabaikan perkara seperti kerakyatan dan individu tanpa warganegara. 

Manifesto itu termasuk meminda Perlembagaan berkenaan hak warganegara anak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia. 

Beberapa dasar yang diamalkan BN selama berdekad-dekad sebelum ini tampak akan digubal semula menerusi manifesto itu, antaranya pelantikan jawatan utama negara seperti pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerusi jawatankuasa khas Parlimen. 

Lantikan politik antara isu yang membelenggu negara apabila jawatan-jawatan besar perlu melalui pejabat perdana menteri. 

Selain itu, BN turut berjanji menghapuskan semua permit import kereta elektrik. 

Menurut Zahid, BN menawarkan pendidikan tertiari percuma kepada golongan B40 selain menyediakan pembelajaran tanpa buku teks di sekolah. 

"BN akan memperkenalkan sistem persekolahan tanpa buku teks yang akan menyaksikan pembelajaran berlangsung menggunakan laptop atau komputer riba," katanya.

Tiada penghapusan tol atau isu membabitkan hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) disebut oleh BN, berbanding tawaran PH. 

Tawaran lain termasuk penggubalan akta penjagaan warga emas dan suntikan dana RM105 juta setahun untuk pertubuhan bukan kerajaan yang mengendalikan pusat penjagaan warga emas dan orang kurang upaya.