- Iklan -
Berita

Penganalisis jangka pertandingan sengit calon wanita di Ampang

Sembilan calon termasuk lima wanita, bersaing merebut kerusi yang disandang Zuraida Kamaruddin dari PBM.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Penunggang motorsikal di lampu isyarat bergantung poster calon Parti Bangsa Malaysia, Zuraida Kamaruddin yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Ampang.
Penunggang motorsikal di lampu isyarat bergantung poster calon Parti Bangsa Malaysia, Zuraida Kamaruddin yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Ampang.

Penganalisis politik menjangkakan persaingan sengit bakal berlaku di kerusi Parlimen Ampang di mana sembilan calon bersaing termasuk lima calon wanita bagi merebut sokongan pengundi dari kaum Melayu dan Cina pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). 

Penyandang Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin sebagai calon Parti Bangsa Malaysia (PBM) akan menentang empat calon wanita; Ivone Low Yi Wen dari Barisan Nasional (BN), Sasha Lyna Abdul Latif dari Perikatan Nasional (PN), Rodziah Ismail dari Pakatan Harapan (PH) dan Nurul Ashikin Mabahwi dari Gerakan Tanah Air (GTA).

Sementara calon lelaki termasuk Lai Wai Chong (Warisan) dan tiga calon bebas; M Raveendran, Muhammad Shafiq Izwan Mohd Yunos dan Tan Hua Meng.

Bercakap kepada MalaysiaNow, penganalisis politik dari Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) Rabi'ah Aminudin berkata apabila kesemua calon wanita dipertandingkan di sesebuah kerusi Parlimen, kelebihan yang akan berlaku adalah sesiapa sahaja yang memenangi kerusi itu tetap akan diwakili oleh wakil rakyat wanita. 

Jelas Rabi'ah, situasi itu dikenali sebagai "all-women shortlist" yang turut menjadi amalan biasa dalam percaturan pilihan raya di luar negara seperti di Korea Selatan.

"Ini adalah lebih baik daripada meletakkan calon wanita di kawasan yang tidak selamat," katanya. 

Katanya, PRU15 kali ini para pengundi di Ampang berkemungkinan besar memilih calon disebabkan faktor parti dan bukannya individu.

Menurutnya lagi, Parlimen Ampang dahulunya amat dikenali sebagai kubu kuat BN namun sejak 2008 ia berubah angin menjadi kubu kuat PKR.  

Atas sebab itu katanya, pertembungan Zuraida dan Rodziah akan menjadi sesuatu yang menarik untuk dilihat sepanjang tempoh kempen PRU15. 

"Lebih-lebih lagi penyandang kerusi Parlimen Ampang terpalit beberapa kontroversi dan juga kapasiti beliau sebagai menteri juga agak kontroversi sewaktu kemuncak Covid-19," katanya merujuk kepada peletakan jawatan Zuraida sebagai menteri perusahaan perladangan dan komoditi serta keluar dari Bersatu untuk menyertai PBM.

"Rodziah pula sudah lama aktif dalam politik di negeri Selangor dan memegang portfolio penting dalam kerajaan negeri. 

"Sekiranya beliau mempunyai strategi yang berkesan untuk mendekati pengundi Ampang, saya melihat kemungkinan Ampang untuk beralih parti mungkin agak rendah." 

Sementara itu, Rabi'ah berkata bagi calon dan wajah baru dari PN dan BN mungkin memerlukan sedikit masa lagi untuk membina portfolio di kawasan tersebut. 

Zuraida memenangi kerusi Parlimen Ampang di bawah tiket PKR dengan majoriti 41,956 undi dalam pertandingan empat penjuru – BN, PAS, Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Zuraida dilantik ke dalam jemaah menteri selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) menumbangkan BN pada 9 Mei 2018.

Cukupkah sekadar isu wanita? 

Dalam pada itu, penganalisis dari Institut Kajian Asia Universiti Nottingham Bridget Welsh berkata calon wanita sering dipinggirkan tetapi Parlimen Ampang sangat berbeza kerana calon-calon yang mewakili parti mempunyai latar belakang dan asas politik yang berbeza. 

"Saya fikir jika dibandingkan semua semua calon, PH mempunyai kelebihan (kerana) asas sokongan Umno di Ampang sudah melemah dengan ketara. 

"Dan BN meletakkan calon Cina, yang menunjukkan bahawa mereka tidak mampu mendekati para pengundi secara meluas terutamanya kawasan majoriti masyarakat di Ampang sekarang, sebilangan besar penduduk adalah kampung-kampung Melayu," katanya kepada MalaysiaNow. 

Selain itu, Welsh berkata isu setempat juga akan tertumpu kepada permasalahan akar umbi dan bukan sahaja melibatkan permasalahan yang dihadapi oleh golongan ibu dan wanita. 

Sebaliknya, kebimbangan pengundi di Ampang akan berfokus kepada rancangan pembangunan dan pengurusan kawasan itu terutamanya melibatkan projek-projek yang mengubah persekitaran kawasan itu secara ketara. 

Katanya, terdapat ramai penduduk Ampang yang sangat mengambil berat tentang pengurusan tanah runtuh, pembangunan setempat, kesesakan lalu lintas dan lain-lain lagi. 

Menurut Welsh, meskipun Zuraida sudah berada lama di Ampang dan berupaya mendapatkan sokongan akar umbi di situ, situasinya kurang baik berbanding calon-calon lain yang baru. 

"Saya rasa orang yang paling terkenal ialah calon PH, sebab dia dilihat sebagai orang berstatus keluarga, dia lebih kenal dengan kawasan itu. 

"Dia juga dikenali sebagai sebahagian daripada ahli kerajaan tempatan, saya fikir ini akan memberi kelebihan kepadanya berbanding calon lain yang kurang dikenali," katanya.