Tidak seperti tempoh pandemik, pengusaha hotel Engku Azman kini mula sibuk melayan pelangan-pelanggan yang mendaftar masuk ke hotelnya yang terletak di Sepang, Selangor.
Selepas negara memasuki fasa endemik, perniagaannya aktif semula selepas menjadi tumpuan ramai penumpang yang tiba di KLIA untuk penginapan transit.
Ketika ditemui, Azman berkata dia tidak pernah menyangka perniagaan hotel mesra Muslim yang dimulakan selepas bersara daripada Kementerian Kesihatan Januari 2020 itu terpaksa berdepan episod pahit pandemik yang memaksa perniagaan barunya menghentikan operasi.
Menurut Azman, apa yang membuat perniagaan hotelnya terus bertahan dan tidak perlu gulung tikar adalah Geran Khas Prihatin yang disediakan kerajaan untuk penguasaha hotel sepertinya.
Namun, ketika ini, operasi perniagaannya masih tidak pulih sepenuhnya walaupun kembali aktif.
Katanya, dia masih bergelut dengan masalah kekurangan tenaga kerja.
Ketika ini, Azman berkata semua urusan perniagaan dan operasi hotel terpaksa dikendalikan sendiri bersama seorang anaknya.
Malahan, pada waktu permintaan tinggi, dia perlu bergantung kepada pekerja separuh masa dan meminta bantuan saudara mara.
"Kita memang hadapi masalah pekerja. Kalau tawar gaji tinggi mungkin ramai nak (kerja). Tapi bisnes kita sederhana.
"Kita sudah cuba dapatkan pekerja sepenuh masa dengan gaji berpatutan tetapi agak sukar," katanya kepada MalaysiaNow.
Atas sebab itu, Azman bersetuju dengan gesaan Majlis Pemulihan Negara (MPN) supaya kerajaan mempercepatkan dan mempermudahkan proses permohonan pekerja asing terutama dalam sektor-sektor kritikal seperti perladangan, pelancongan dan pembuatan.
Sebelum ini, Pengerusi MPN Muhyidin Yassin berkata kekurangan tenaga kerja akan merencatkan proses pemulihan sektor-sektor yang paling terjejas akibat pandemik.
MPN juga telah beberapa kali menggesa kerajaan mempercepatkan proses dan usaha pemulihan sektor pelancongan serta merangka inisiatif serta bantuan bagi memacu semula sektor pelancongan yang merupakan antara penyumbang terbesar kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara.
Dalam pada itu, Azman turut merancang untuk mengembangkan perniagaan hotelnya itu dengan menambah lebih banyak bilik di hotelnya.
Bagaimanapun, hasratnya terpaksa ditangguhkan ekoran masalah yang sama.
Masalah dihadapi Azman turut dikongsi Presiden Persatuan Pengembaraan dan Agensi Pelancongan Selangor (SAFTTA) Fathir Badri Al Hadad, mengatakan sektor pelancongan dan perhotelan kini sukar mencari pekerja kerana warga tempatan tidak gemar bekerja dalam sektor berkenaan.
Katanya, isu kekurangan pekerja kekal menjadi krisis utama meskipun pelancongan domestik dan antarabangsa semakin rancak di Malaysia.
Menyokong gesaan MPN, beliau turut berkata kerajaan perlu bersungguh-sungguh menyelesaikan isu kekurangan pekerja dengan membuka kembali permohonan pekerja asing supaya pengusaha sektor pelancongan boleh mengisi jawatan yang diperlukan.
Menurut Fathir, sudah setahun kekosongan pekerja asing dibiarkan untuk sektor berkenaan.
Katanya, cadangan MPN agar inisiatif dan bantuan untuk sektor pelancongan perlu dirangka dalam kadar segera akan membolehkan Malaysia bersaing dengan negara-negara jiran seperi Singapura, Indonesia dan Thailand.
"Apabila sektor pelancongan rancak, pastinya ekonomi negara berkembang.
"Kerajaan kena ambil maklum perkara itu dan bila kerajaan sedar betapa besarnya sumbangan sektor ini, pastinya sektor ini akan dibantu dengan serius oleh kerajaan."