- Iklan -
Berita

Ramanan selar cita-cita Khairy jadi PM, tak sama seperti Anwar

Calon Pakatan Harapan menyifatkan kenyataan Khairy Jamaluddin untuk menjadi perdana menteri itu sebagai 'tidak sensitif' dengan keadaan semasa dihadapi rakyat.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Calon Pakatan Harapan R Ramanan (kedua dari kanan) bersama calon-calon di Sungai Buloh termasuk Khairy Jamaluddin (tengah) dari Barisan Nasional pada hari penamaan calon 5 November lalu. Gambar: Bernama
Calon Pakatan Harapan R Ramanan (kedua dari kanan) bersama calon-calon di Sungai Buloh termasuk Khairy Jamaluddin (tengah) dari Barisan Nasional pada hari penamaan calon 5 November lalu. Gambar: Bernama

Calon Pakatan Harapan (PH) R Ramanan menyelar kenyataan lawannya di Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin yang berterus-terang mahu menjadi perdana menteri, namun mengatakan ia tidak boleh disamakan dengan cita-cita Presiden PKR Anwar Ibrahim yang sudah lebih dua dekad cuba merebut jawatan itu.

Menurut Ramanan, kenyataan calon Barisan Nasional (BN) adalah tidak sensitif dengan keadaan semasa rakyat. 

"Inilah perangai gila kuasa Khairy  yang sebenar. Di saat kita sedang berusaha mengatasi kesusahan rakyat, harga barang yang makin meningkat, anak muda tiada pekerjaan, kesukaran menghadapi banjir, masalah rasuah, dia (Khairy) sibuk bercakap pasal kuasa," katanya dalam satu kenyataan kepada MalaysiaNow. 

Khairy dalam satu ceramah kempennya di Sungai Buloh menyatakan hasrat ingin merebut jawatan presiden Umno dan seterusnya menjadi perdana menteri. 

"Dengan takdir Allah, dengan sokongan daripada rakan-rakan, satu hari nanti saya nak pimpin Umno, satu hari nanti saya nak jadi perdana menteri kamu untuk kita bangunkan negara ini,” katanya.

Kedua-dua calon Sungai Buloh itu sebelum ini saling membalas apabila Ramanan membuat dakwaan punyalahgunaan wang di Kementerian Belia dan Sukan yang mana Khairy pernah menjadi menteri. 

Bagaimanapun Khairy menggesa Ramanan untuk tidak berkias sekiranya mahu menuduh beliau terlibat. 

Sungai Buloh menyaksikan pertandingan tujuh penjuru antara BN, PH, Perikatan Nasional (PN), Parti Rakyat Malaysia (PRM), Pejuang dan dua calon bebas. 

Ramanan menggantikan penyandang, R Sivarasa manakala Khairy ditugaskan merampas kerusi kubu kuat PKR itu setelah tiga penggal menyandang sebagai ahli Parlimen Rembau. 

Dalam pada itu, Ramanan menjelaskan, cita-cita Khairy untuk menjadi perdana menteri tidak boleh disamakan dengan cita-cita Presiden PKR. 

"Dari segi membuat polisi, selama memegang jawatan menteri banyak kegagalan yang dicatat oleh Khairy terutama berkenaan isu pengendalian vaksin, cara mengendalikan covid dan sebagainya," kata bekas orang kuat MIC itu. 

Katanya, Anwar yang juga calon PH di Tambun pernah dinobat sebagai menteri kewangan terbaik Asia dan menteri yang bertanggungjawab memperkukuh sistem kewangan Islam dalam negara.