- Iklan -
Berita

Selangor beri cuti umum sehari sebelum hari pengundian

Amirudin Shari berkata ia bagi membolehkan pengundi pulang ke kampung halaman mereka untuk mengundi pada 19 November ini.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari bercakap pada sidang media di Shah Alam hari ini. Gambar: Bernama
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari bercakap pada sidang media di Shah Alam hari ini. Gambar: Bernama

Kerajaan Selangor hari ini bersetuju untuk memberi cuti umum sehari sebelum hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) iaitu pada 18 November ini, kata Menteri Besar Amirudin Shari. 

Amirudin berkata perkara itu akan diluluskan Rabu ini pada mesyuarat kerajaan negeri untuk diwartakan. 

Beliau berkata pemberian cuti itu berikutan Selangor mempunyai bilangan pengundi paling ramai di negara ini iaitu 3,677,848 dan sejumlah besar warga Malaysia juga bekerja dan bermastautin di negeri ini, tetapi mengundi di kampung halaman mereka di negeri lain.

“Saya juga telah membuat perbincangan awal (berkenaan cuti umum ini) dengan negeri-negeri di bawah Pakatan Harapan cuma Selangor muktamadkan perkara ini lebih awal dan umumkan hari ini,” katanya pada sidang media khas di sini hari ini. 

Beliau berkata kerajaan negeri juga berharap Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dapat memberikan pelepasan yang sama kepada seluruh rakyat Malaysia, supaya seramai mungkin pengundi dapat menunaikan tanggungjawab mereka pada 19 November. 

Sementara itu, susulan insiden gangguan sistem tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya yang menyebabkan operasi 16 stesen LRT ditutup, Amirudin berkata kerajaan negeri berhasrat untuk membantu pengguna yang terkesan.

Katanya pihaknya akan berbincang dengan pengendali bas Rapid KL, Rapid Bus Sdn Bhd, bagi menyediakan 20 buah bas Smart Selangor mulai esok (10 November) untuk membantu mengatasi masalah gangguan LRT.

Beliau turut memberi jaminan operasi harian bas Smart Selangor tidak akan terganggu.

Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) hari ini memaklumkan perkhidmatan tren LRT di antara stesen Kelana Jaya dan Ampang Park digantung tujuh hari bermula pukul 6 pagi tadi, selepas mengambil kira faktor keselamatan penumpang serta masa yang akan diambil untuk mengenal pasti punca gangguan perkhidmatan.

Selain itu, Amirudin berkata kerajaan negeri akan memberikan 10,000 dos vaksin influenza-pneumokokal secara percuma kepada golongan berisiko tinggi dengan peruntukan RM1.5 juta. 

“Program ini akan bermula 14 November ini dan berterusan hingga 31 Disember dengan memfokuskan kepada rumah-rumah jagaan orang tua, warga emas serta pemegang kad Iltizam Selangor Sihat bagi fasa pertama program Selangor Vaksin Influenza-Pneumokokal,” katanya. 

Katanya program itu dijalankan berikutan peningkatan penyakit jangkitan pernafasan yang mendatangkan risiko kepada penduduk terutamanya warga emas dan dilaksanakan melalui Selvax Mobile Team dan klinik-klinik Selcare. 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.