- Iklan -
Berita

Majikan tidak boleh kenakan penalti, potong gaji pekerja keluar mengundi

Menteri sumber manusia berkata majikan yang tidak mematuhi peruntukan di bawah Subseksyen 25(1) Akta 5 boleh didakwa dan didenda RM5,000 atau penjara setahun jika disabitkan kesalahan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Majikan tidak dibenarkan mengenakan penalti atau pengurangan gaji jika pekerja pergi mengundi, kata Menteri Sumber Manusia M Saravanan.
Majikan tidak dibenarkan mengenakan penalti atau pengurangan gaji jika pekerja pergi mengundi, kata Menteri Sumber Manusia M Saravanan.

Majikan swasta tidak dibenarkan mengenakan sebarang penalti atau memotong gaji pekerja yang tidak hadir bekerja kerana pergi mengundi pada 19 November ini sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Menteri Sumber Manusia M Saravanan.

Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata ia selaras dengan hak pekerja untuk mengundi yang diperuntukkan di bawah Subseksyen 25(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5).

Subseksyen 25(1) Akta 5 memperuntukkan tiap-tiap majikan hendaklah, pada hari mengundi, membenarkan suatu tempoh yang munasabah bagi tiap-tiap pemilih yang bekerja dengannya mengundi, dan tiada majikan boleh membuat apa-apa potongan daripada gaji atau saraan lain mana-mana pemilih itu atau mengenakan ke atasnya atau menuntut daripadanya apa-apa penalti oleh sebab dia tidak hadir bekerja dalam tempoh itu.

Sehubungan itu, Saravanan menggesa semua majikan sektor swasta untuk memberikan kebenaran kepada para pekerja bagi menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.

Saravanan berkata, untuk tujuan tersebut, majikan hendaklah berbincang dengan pekerja berkenaan opsyen bagi pemberian time-off, hari pelepasan berganti atau cuti tahunan.

“Para majikan boleh mengambil langkah seperti memberi time-off kepada pekerja yang mengundi di tempat pengundian yang berdekatan atau memberi pelepasan kepada pekerja yang perlu mengundi di tempat pengundian yang jauh.

“Pekerja yang memerlukan lebih daripada satu hari untuk ke tempat mengundi pula boleh mengambil cuti tahunan,” katanya.

Beliau berkata majikan yang tidak mematuhi peruntukan di bawah Subseksyen 25(1) Akta 5 boleh didakwa dan didenda RM5,000 atau penjara setahun jika disabitkan kesalahan.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 November dan pengundian awal pada 15 November.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi
- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.