- Iklan -
Berita

Pengundi Ampang tidak senang dengan calon 'pro pemaju'

Mereka berkata kawasan Ampang menarik ramai pemaju hartanah yang akan terus mengaut untung jika tidak dikawal selia.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Suasana lalu lintas di kawasan Ampang di mana sebuah papan iklan memaparkan penyandang kerusi Zuraida Kamaruddin sempena kempen pilihan raya.
Suasana lalu lintas di kawasan Ampang di mana sebuah papan iklan memaparkan penyandang kerusi Zuraida Kamaruddin sempena kempen pilihan raya.

Minggu pertama kempen bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Ampang semakin rancak dengan rata-rata pengundi mengatakan mereka mula mengenali calon-calon yang bertanding untuk kerusi Parlimen itu. 

Tinjauan MalaysiaNow ke kawasan berkenaan mendapati para pengundi masih terkejut dengan sembilan orang calon mahu bertanding bagi kerusi Parlimen berkenaan. 

Seorang ahli perniagaan perabot dan ubah suai rumah, Andrew Tan, 63, berkata dirinya tidak hairan Ampang menjadi rebutan dan sasaran banyak parti politik untuk bertanding kerana ianya semakin dikenali sebagai lubuk untung kepada syarikat- syarikat pemaju. 

"Ampang sangat sesak dan padat. Tapi kalau ada sedikit sahaja tapak kosong, tunggu sahaja beberapa bulan sudah pasti ada pembangunan yang dibuat. 

"Tak kisah lot kedai atau rumah, semuanya pemaju boleh nampak di Ampang sedangkan kami nak cari parkir pun susah. Mereka boleh nampak kawasan nak bina sesuatu. 

"Orang Melayu kata, reda. Itulah kami semua di Ampang rasakan sekarang. Redha sahaja," katanya kepada MalaysiaNow ketika ditemui sewaktu tinjauan. 

Rakan Tan, Syed Fahmi juga berpandangan sama. 

Katanya, puak pemaju tidak akan berasa terlalu selesa dah yakin untuk terus membina hartanah di Ampang sekiranya tiada halangan daripada pihak tertentu. 

"Kalau orang yang jaga Ampang suka pemaju, pemaju lagi suka Ampang. 

"Tapi rakyat di bawah, suka siapa? Boleh jadi tak suka dua-dua?" 

Beliau merujuk kepada penyandang kerusi Ampang Zuraida Kamaruddin yang sebelum ini disebut-sebut sebagai "pro pemaju" ketika menjadi menteri perumahan dan kerajaan tempatan di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH). 

Zuraida banyak kali dikritik ketika menaungi kementerian berkenaan kerana dilihat berpihak kepada pemaju melalui pengenalan kempen-kempen perumahan. 

Ini termasuk program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) kepada pembeli warga asing dari China dan Hong Kong yang dikatakan mampu merancakkan ekonomi selain menyelesaikan masalah lambakan rumah tak terjual. 

Antara kontroversi lain apabila Zuraida didakwa pernah menerima sumbangan sebanyak RM1 juta daripada pemaju yang disenarai hitam kepada NGO Penggerak Komuniti Negara yang dinaunginya pada tahun 2020.

Bagaimanapun, Zuraida bertindak memadam gambar penyerahan replika cek yang dimuatnaik pada media sosial beliau selepas dipersoalkan pelbagai pihak. 

Beliau yang menyandang kerusi Parlimen Ampang selama tiga penggal itu akan berdepan Rodziah Ismail (PH), Ivone Low Yi Wen (Barisan Nasional), peguam Sasha Lyna Abdul Latif (Perikatan Nasional) dan Nurul Ashikin Mabahwi (Gerakan Tanah Air.).

Manakala empat pencabar lain ialah Bryan Lai Wai Chong (Warisan), Raveendra Marnokaran (Bebas), Muhammad Shafiq Izwan Mohd Yunos (Bebas) dan Tan Hua Meng (Bebas).

Pengundi tersinggung hati

Seorang peniaga baju di dalam pusat membeli belah di Ampang berkata dirinya dan kejiranan pula berasa "tersinggung" dengan pendekatan kempen yang digunakan oleh calon. 

Kata Hidayu Omar, dia sudah muak dengan masalah yang sama perlu dihadapi hampir setiap hari.

Contohnya kesesakan lalu lintas, banjir kilat dan masalah bekalan air yang mengganggu urusan harian penduduk. 

Bahkan, ianya berlaku sudah terlalu lama sehingga penduduk tidak lagi ingat bilakah ianya bermula. 

"Tiba-tiba calon buat kempen nak 'reset' Ampang. Kenapa sekarang? Sebelum ni kami suarakan masalah yang sama tapi PRU15 baru nak sedar? 

"Apa yang YB itu buat selama 15 tahun kalau PRU15 dia mahu reset Ampang? Saya betul marah dah kecil hati," katanya kepada MalaysiaNow. 

Hidayu merujuk kepada slogan kempen PRU15 #ResetAmpang oleh Zuraida. 

Tambahnya, jarak rumahnya dari Taman Cahaya ke pusat membeli belah hanya kurang daripada 5km tetapi memerlukan lebih 10 minit untuk tiba pada hari biasa dan lebih 15 minit pada hari minggu kerana jalan sesak. 

Apabila ditanya tentang isu bekalan air, Hidayu hanya menggelengkan kepala dan tak mahu mengulas lanjut. 

Sementara itu, seorang pengundi muda Hafiz Hafifi Hassan pula berkata dia mahukan seorang wakil rakyat yang berfungsi di peringkat dasar dan pembuat polisi. 

Terutamanya masalah seperti banjir kilat di hampir seluruh kawasan Ampang. 

Jelasnya, wakil rakyat yang hanya aktif ketika musibah melanda tidak layak dilantik menjadi ahli Parlimen. 

Sebaliknya, ahli Parlimen perlu bijak menggunakan jawatan yang disandang untuk merangka polisi dan strategi supaya isu banjir tidak lagi berulang. 

"Kita bukan nak cari YB tiap kali banjir dia turun basuh selut rumah pengundi.

"Setakat tiap tahun nak turun tolong basuh selut, elok jadi sukarelawan NGO sahaja lah," katanya. 

Pada 26 Mei lalu, Zuraida mengumumkan keputusannya keluar Bersatu bagi menyertai Parti Bangsa Malaysia sekali gus mengumumkan kesediannya untuk meletakkan jawatan kementerian.

Beliau berkhidmat dalam tiga Kabinet sejak 2018 di bawah Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin dan Ismail Sabri Yaakob di dua portfolio kementerian iaitu perumahan dan kerajaan tempatan dan perusahaan, perladangan dan komoditi.

Beliau memegang jawatan ahli Parlimen Ampang selama 14 tahun sejak 2008.