Sudah masuk tahun keempat Nur Khaliesa berkhidmat sebagai pegawai perubatan kontrak dengan sebuah hospital kerajaan di Kedah.
Dan sudah empat kali juga permohonan untuk diserap sebagai kakitangan tetap di Kementerian Kesihatan ditolak tanpa diberi sebarang alasan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).
Pada Jun lalu, dia berhasrat untuk meninggalkan negara dan mengintai peluang kerjaya di tempat lain.
Menurut Khaliesa, bukan mudah untuknya membuat keputusan berhijrah ke negara luar untuk bekerja meskipun berpengalaman selama lebih lima tahun menetap di Australia sebagai pelajar perubatan.
"Saya sudah siapkan semua dokumen yang diperlukan untuk urusan kerja di tempat baru. Saya merancang untuk letak jawatan pada awal tahun depan.
"Kemudian cuti buat beberapa minggu sebelum memulakan kerja di tempat baru," katanya kepada MalaysiaNow sambil menambah dia memilih untuk ke Brunei atau Singapura yang turut menawarkan gaji lumayan.
Bagaimanapun, katanya, dia mula melihat sinar baru selepas meneliti manifesto parti-parti politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang mahu membela nasib doktor-doktor kontrak sekiranya berjaya membentuk kerajaan selepas 19 November ini.
"Saya benar-benar berharap parti yang peduli tentang sektor kesihatan diberi mandat kali ini.
"Contohnya selesaikan lambakan doktor kontrak dan tubuh suruhanjaya khusus untuk sektor kesihatan.
"Kami tidak mahu lagi kerajaan yang berjanji untuk selesaikan itu dan ini tapi akhirnya buat keputusan yang tak memihak kepada sesiapa."
Katanya, seramai 13 orang rakannya yang juga merupakan doktor kontrak sedang menunggu keputusan PRU15 pada 19 November ini sebelum membuat keputusan sama ada berhenti kerja ataupun berkerja di luar negara.
Kira-kira lebih 23,000 pegawai perubatan dan pergigian serta pegawai farmasi dijangka membuang undi pada PRU15.
Mereka semua adalah doktor-doktor muda yang menunggu lama untuk diserap sebagai doktor tetap yang kemudiannya membolehkan mereka menyambung latihan menjadi doktor pakar.
Selepas pengumuman manifesto pilihan raya masing-masing, Pakatan Harapan (PH) berjanji untuk menangani isu doktor kontrak sekiranya berjaya membentuk kerajaan.
Perikatan Nasional (PN) pula menawarkan untuk membentuk suruhanjaya perkhidmatan kesihatan untuk menangani masalah yang dihadapi doktor dan meningkatkan peruntukan untuk sektor kesihatan.
Selain itu, tumpuan manifesto PN juga ialah untuk menyelesaikan isu perjawatan doktor, kes buli dan dan menumpukan kebajikan doktor serta menangani isu kekurangan doktor pakar.
Manakala, isu menangani doktor kontrak menjadi antara manifesto calon Barisan Nasional (BN) di Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin yang juga menteri kesihatan.
Sementara itu, seorang doktor kontrak dari Terengganu berkata, dia tidak akan menunggu lama untuk berhijrah ke Taiwan sekiranya parti yang tidak membela sektor kesihatan tidak dipilih sebagai kerajaan.
Teo yang berkhidmat sejak 2017 berkata, dia dan beberapa rakan lain sudah menyediakan surat peletakan jawatan sejak Ogos lalu dan bercadang menyerahkannya kepada pengarah hospital masing-masing pada hujung tahun ini.
"Bila diumumkan ada PRU15, kami berasa teruja kerana ada manifesto yang terperinci untuk sektor kesihatan.
"Ini boleh jadi peluang untuk kami terus berada di Malaysia tanpa perlu tinggalkan keluarga demi cari rezeki," katanya kepada MalaysiaNow.
Tambah Teo, kerajaan yang menekankan sektor kesihatan akan membina masyarakat dan negara yang lebih sejahtera kerana kesihatan menjadi kunci utama kesejahteraan rakyat.
"Saya akan tunggu dan berharap mereka yang sedia memimpin untuk tangani isu ini akan diangkat menjadi kerajaan.
"Taiwan boleh tunggu, tapi saya ingin berada di negara sendiri."