- Iklan -
Berita

Penduduk Kampung Baru sudah lali dengan janji calon pilihan raya

Mereka berkata kebanyakan rancangan pembangunan sejak puluhan tahun lalu gagal dilaksanakan.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Bangunan pencakar langit Menara Kuala Lumpur dan Menara Berkember Petronas melatari kejiranan Melayu Kampung Baru di tengah Kuala Lumpur.
Bangunan pencakar langit Menara Kuala Lumpur dan Menara Berkember Petronas melatari kejiranan Melayu Kampung Baru di tengah Kuala Lumpur.

Ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semakin hangat, dua calon kerusi Parlimen Titiwangsa dari Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) menyerang antara satu sama lain berhubung satu kawasan panas di Kampung Baru.

Namun di sebalik tuduh-menuduh antara calon yang pernah mewakili Titiwangsa, Johari Abdul Ghani dan pencabarnya Khalid Samad, penduduk Kampung Baru sudah lali dengan polemik yang seakan tiada kesudahan.

Bercakap kepada MalaysiaNow, Naib Yang di-Pertua Lembaga Pentadbiran Penempatan Pertanian Melayu, Samsuri Suradi berkata, kerajaan sudah berhasrat untuk membangunkan Kampung Baru sejak 1975 lagi.

Namun setelah 45 tahun, usaha itu gagal.

"Dalam proses itu kita nampak ramai menteri nak bangunkan Kampung Baru secara total. Itu semua gagal.

"Menteri tak tahu isu. Pembangunan Kampung Baru tidak boleh disamakan dengan pembangunan Wilayah Pembangunan Iskandar atau Putrajaya. Itu tanah kerajaan tetapi ini tanah kami," katanya kepada MalaysiaNow.

Kampung Baru yang terkenal dengan bubur lambuk dan bazar Ramadan itu turut menjadi tarikan pelancong yang ingin merasai suasana desa di tengah bandar.

Ia mempunyai sejarah panjang yang boleh dijejaki sehingga 1899.

Pada 2019, media melaporkan kampung itu diintai broker hartanah yang mahu membangunkan tanah tersebut.

Kampung Baru sudah menyaksikan beberapa projek pembangunan, antaranya kondominium Uda Legasi, Tamu Hotel dan terkini, MRT Jalan Raja Uda.

Menurut Samsuri, pelbagai pelan dilancarkan untuk Kampung Baru yang menelan jutaan ringgit tetapi tidak pernah mengambil kira kehendak penduduk.

Antaranya, laluan berbasikal yang kelihatan cantik namun tidak mengambil kira laluan air bawah tanah.

Ini mengakibatkan masalah banjir tidak selesai.

"Sebab mereka berlagak pandailah pelan-pelan ini gagal, dari Raja Nong Chik, kepada Khalid Samad, sehinggalah Annuar Musa dan Shahidan Kassim," katanya merujuk kepada pemimpin-pemimpin yang pernah memegang Kementerian Wilayah Persekutuan.  

PSX_20221110_160045

Khalid yang sebelum ini menteri Wilayah Persekutuan berharap dapat menggunakan rekodnya semasa PH mentadbir negara untuk memenangi hati pengundi Titiwangsa.

Namun kenyataannya berhubung nilai tanah mengguris hati penduduk dan mungkin menghantui kempennya di Kampung Baru.

Penyandang kerusi Parlimen Shah Alam itu menuduh Johari tidak bersuara ketika kerajaan merampas tanah penduduk Kampung Baru.

Johari pula berkata Khalid tidak berjaya menyelesaikan masalah penduduk ketika berkuasa.

Semasa pentadbiran Khalid, kerajaan menawarkan RM1,000 untuk setiap kaki persegi, namun menurut penduduk ia masih rendah.

Penduduk di Kampung Sungai Baru berhampiran Kampung Baru turut menyatakan rasa tidak puas hati berkenaan tawaran nilai oleh kerajaan.

Yusuf Sukaruman yang merupakan pewaris tanah di kampung berkenaan berkata nilai tanah itu menjadi mainan politik.

"Nilainya tidak berpatutan. Kami sudah berbincang penilai swasta yang dilantik tetapi Pejabat Tanah dan Galian tak berminat dengan nilai itu. Itu yang kami bantah sampai sekarang," katanya.

Seorang penduduk Syed Putra Syed Abdul Rahman berkata, dia mahu menteri wilayah dan datuk bandar yang bakal dilantik adalah mereka yang berasal dari Wilayah Persekutuan, dan bukannya orang luar.

"Kita minta menteri itu berjiwa tempatan yang tahu masalah Kuala Lumpur. Ini lantik menteri dari luar," katanya merujuk kepada beberapa menteri wilayah sebelum ini yang tidak berasal dari Kuala Lumpur.

Samsuri memberitahu, di kampung itu hanya Umno dan PAS yang mempunyai keberadaan dan kuat.

Parti-parti lain yang jika ingin menambat hati penduduk perlu memahami kehendak mereka.

"Jangan buang masa macam Khalid. Kena menang 'heart and mind of the people' dan bukan sekadar datang pacak (bendera).

"Pastikan perjuangan kamu bukan sehari sahaja," katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.