- Iklan -
Berita

Jurang umur, bertahun tinggalkan politik jadi beban calon ‘heavyweight’ Pandan

Sokongan untuk calon Pakatan Harapan Rafizi Ramli dan calon Warisan, Ong Tee Keat berbelah bagi berdasarkan usia pengundi.

Teoh Yee Shen
3 minit bacaan
Kongsi
Penunggang motorsikal melalui jalan dipenuhi bendera Pakatan Harapan dan Warisan di Pandan, Kuala Lumpur.
Penunggang motorsikal melalui jalan dipenuhi bendera Pakatan Harapan dan Warisan di Pandan, Kuala Lumpur.

Di kawasan Parlimen Pandan di Hulu Langat, Selangor, tumpuan kini terarah pada pertembungan antara dua nama besar yang ingin membuat kemunculan semula dalam arena  politik selepas beberapa meninggalkan politik.

Calon PKR Rafizi Ramli dan calon Warisan Ong Tee Keat, pada satu ketika dulu pernah menjadi ahli Parlimen Pandan. 

Di bawah tiket MCA sebelum ini, Ong menyandang kerusi itu dari 2004 hingga 2013, sementara Rafizi dari 2013 hingga 2018.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 yang dijadualkan 19 November ini, mereka menjadi antara lima calon yang bersaing untuk mendapatkan sokongan bagi mengambil alih kerusi Parlimen yang terletak di kawasan bandar itu.

Calon lain termasuk Muhammad Farique Zubir Albakri dari Perikatan Nasional (PN), Nadia Hanafiah (Pejuang), sementara Leong Kok Wee mewakili Barisan Nasional (BN).

Sebelum ini, Pandan dimenangi oleh Dr Wan Azizah Wan Ismail dari PKR, di mana ketika itu jumlah keseluruhan pengundi di sana adalah sebanyak 148,730.

Ketika Rafizi dan Ong giat menjalankan kempen bagi meraih sokongan, persoalan mengenai kedua-dua calon terus berbangkit. 

Antaranya, apakah kesan jurang umur mereka terhadap pengundi di kawasan itu, dan bagaimana impak kepada pengundi mengenai tindakan mereka berundur daripada politik sebelum ini.

PSX_20221105_235456

Di sebuah blok pangsapuri yang terletak di seberang jalan pusat penamaan calon, seorang pemuda yang memperkenalkan dirinya sebagai Adif Zulkifli Mohammed Amin berkata tumpuan harus diberikan kepada muka baru yang akan bertanding di Pandan.

“Rafizi okey,” katanya. 

"Wan Azizah juga turun padang, tetapi kita tahu cara mereka. Berilah peluang kepada calon baru."

Seorang lagi belia, Jimmy Lam, 21, berkata dia lebih mengenali Rafizi berbanding Ong.

"Saya pernah mendengar tentang Ong kerana ayah saya pernah cakap tentang beliau," kata Lam.

“Cuma, saya lebih mengenali Rafizi," tambahnya sambil mengaitkan kekurangan maklumatnya mengenai Ong kerana jurang umur antara dia dan bekas presiden MCA itu.

Bercakap kepada MalaysiaNow, ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perak Yeap Thiam Hoong berkata nama seperti Ong dan bekas ahli DAP Wee Choo Keong, yang juga ingin membuat kemunculan semula di Wangsa Maju, tidak lagi relevan kepada pengundi muda.

“Ketika saya aktif politik, pada 2007 dan 2008, saya kenal siapa Ong dan Chua Soi Lek," katanya merujuk kepada seorang lagi bekas pemimpin MCA.

"Tetapi jika anda menghilang selama beberapa tahun, anda tidak lagi relevan."

Pengundi tua

Dalam kalangan pengundi yang lebih tua di pangsapuri itu, pandangan mereka dilihat berbelah bagi antara Ong dan Rafizi.

Seorang wanita berusia 63 tahun yang menggelarkan dirinya Kak Sabariah berkata kedua-dua Rafizi dan Ong berpeluang memenangi kerusi itu.

"PN mungkin ada peluang juga, kerana mereka sudah bergabung dengan PAS dan Gerakan," kata Sabariah, yang menetap di Pandan selama 20 tahun.

"Tetapi peluang untuk BN di sini tipis."

PSX_20221109_162648

Rama, yang juga berusia 63 tahun berkata dia sudah menetap di Pandan selama lebih 40 tahun. 

Tidak seperti generasi muda, dia mengenang penggal ketika Ong berkhidmat di kawasan itu.

“Beliau banyak bantu sekolah waktu itu,” katanya. 

"Beliau juga adalah orang lama dalam politik."

Seorang lagi warga tempatan bernama Ngai turut bersetuju, mengatakan Ong adalah seorang pemimpin yang “mesra rakyat". 

Bagaimanapun, beliau berkata sukar untuk meramalkan keputusan pilihan raya kali ini.

"Jika orang mengundi berdasarkan calon, bukan parti, Ong mungkin ada peluang," katanya.

Seorang lagi warga tempatan yang memperkenalkan diri sebagai Low berkata kedua-dua Ong dan Rafizi terkenal di kawasan itu.

“Peluang 50-50 antara mereka," katanya, sambil menambah bahawa dia tidak begitu mengenali calon lain.

Low turut juga mengenang jasa Ong semasa bekas presiden MCA itu menjadi ahli Parlimen Pandan.

“Beliau berkhidmat di kawasan ini dengan baik. Beliaulah yang dapatkan kelulusan untuk SJK (C) On Pong 2."

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi